MG Motor Malaysia bakal memperkenalkan secara rasmi model terbaru syarikat itu untuk pasaran tempatan, MG5 sedan pada 5.30 petang ini dan boleh ditonton secara langsung menerusi laman Facebook rasmi mereka. Ia pertama kali dipertontonkan kepada umum di sini pada Ogos lalu.
MG5 ini dijangka akan dijual dengan harga di bawah RM100k, dan merupakan unit yang akan diimport dari Thailand. Sudah juga diperkenalkan untuk pasaran Indonesia dengan nama MG5 GT, sedan ini mempunyai ukuran dimensi 4,675 mm panjang, 1,842 mm lebar, 1,473 mm tinggi dan jarak roda 2,680 mm. Ia merupakan sedan dalam segmen C, dan akan bersaing dengan model seperti Honda Civic, Toyota Corolla dan Mazda 3.
Malaysia juga akan menerima MG5 dengan spesifikasi yang sama dengan dua negara jiran terbabit: enjin 1.5 liter NA empat silinder yang menjana sebanyak 114 PS pada 6,000 rpm dengan tork maksimum 150 Nm pada 4,500 rpm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear CVT lapan-kelajuan maya.
Rekaan luarannya antara lain menerapkan perincian seperti lampu hadapan automatik LED dengan lampu nyalaan siang, cermin sisi kawalan elektrik, bumbung suria dan juga set rim aloi ‘Tomahawk’ 17-inci.
Di dalam kabin, ia dilengkapi tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala, tempat duduk balutan kulit hitam dengan serlahan merah, paparan instrumen digital penuh dengan skrin 7-inci, skrin infotainmen 10.25-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta enam pembesar suara.
SAIC Motor Malaysia selaku pengedar rasmi kenderaan MG di Malaysia sebelum ini memaklumkan MG5 akan datang dengan perlindungan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan untuk kenderaan, bersama waranti berasingan untuk unit rangkaian kuasa (enjin dan transmisi) selama tujuh-tahun tanpa had perbatuan.
Ikuti pelancaran rasminya petang ini untuk tahu lebih lanjut tentang penawaran MG5 sedan di Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.