Berita baik untuk peserta acara larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2024 pada 5 dan 6 Oktober ini, jika anda ke lokasi acara larian berkenaan yang berlangsung di Dataran Merdeka, Rapid KL memaklumkan bahawa perkhidmatan tren bagi MRT dan LRT akan beroperasi lebih awal pada kedua-dua hari berkenaan.
Menurut Rapid KL, bagi perkhidmatan LRT, ia melibatkan stesen terpilih untuk laluan Ampang, Sri Petaling dan Kelana Jaya, yang akan memulakan operasi mulai jam 3.30 pagi pada 5 Okt (Sabtu) dan seawal 1.30 pagi pada 6 Okt (Ahad), dan kekerapan ketibaan tren adalah setiap 15 minit.
Manakala untuk perkhidmatan MRT pula, ia juga melibatkan stesen terpilih bagi laluan Kajang dan Putrajaya, yang akan memulakan operasi seawal waktu yang sama dengan LRT, namun kekerapan ketibaan tren adalah setiap 20 minit.
Seperti yang Rapid KL maklumkan, hanya stesen terpilih sahaja yang akan terlibat dengan waktu operasi diawalkan ini. Untuk LRT Laluan Kelana Jaya, ia melibatkan stesen Putra Height, USJ 21, Glenmarie, Kelana Jaya, Taman Jaya, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek (anda boleh turun di sini dan berjalan kaki kira-kira 300 meter ke Dataran Merdeka), Jelatek dan Gombak.
Manakala untuk LRT Laluan Sri Petaling, melibatkan Putra Height, IOI Puchong Jaya, Kinrara BK5, Awan Besar, Bukit Jalil, Bandar Tasik Selatan, Masjid Jamek, Bandaraya dan Sentul Timur. Untuk LRT Laluan Ampang, stesen terlibat ialah Sentul Timur, Bandaraya, Masjid Jamek, Pandan Indah, Cempaka, dan Ampang.
Bagi MRT Laluan Kajang, ia melibatkan stesen Kwasa Damansara, Phileo Damansara, Pasar Seni (anda boleh bertukar ke LRT untuk ke Masjid Jamek), Bukit Bintang, Tun Razak Exchange (TRX), Bandar Tun Hussein Onn dan Kajang. Untuk MRT Putrajaya pula, stesen terlibat ialah Kwasa Damansara, Sungai Buloh, Kg. Batu, TRX (anda boleh tukar ke laluan Kajang dan keluar di Pasar Seni dan naik pula LRT ke Masjid Jamek) dan Putrajaya Sentral.
Malahan pihak pengurusan acara KLSCM 2024, Dirigo Event juga menyediakan tambang percuma pada Sabtu ini dari jam 3.30 pagi hingga 6 pagi dan dari 1.30 pagi hingga 6 pagi pada Ahad ini. Kadar tambang standard akan dikenakan pada waktu operasi biasa.
Untuk pengetahuan anda, penutupan jalan utama di sekitar pusat bandar KL akan dilaksanakan pada pagi esok dan Ahad bagi menjayakan acara larian ini. Rujuk artikel PENUTUPAN JALAN untuk mengetahui senarai jalan yang terlibat. Sekiranya ingin ke KL pada hujung minggu ini, sila rancang perjalanan anda sewajarnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.