Zeekr 009 – tempahan di Malaysia kini dibuka; 603 hp/693 Nm, bawah RM370k, 6- & 7-tempat duduk

Zeekr 009 – tempahan di Malaysia kini dibuka; 603 hp/693 Nm, bawah RM370k, 6- & 7-tempat duduk

Jenama EV mewah dari Geely iaitu Zeekr sudahpun rasmi bertapak di Malaysia sejak Jun lalu yang dioperasikan oleh Sentinel Automotive, dan kini ia telahpun mengumumkan bahawa tempahan untuk MPV EV Zeekr 009 secara rasmi dibuka untuk pasaran tempatan. Harga rasmi belum lagi diumumkan namun ia disahkan akan dijual pada harga di bawah RM370,000.

Untuk pasaran Malaysia, Zeekr 009 akan ditawarkan dalam varian asas Luxury 7-tempat duduk dan varian paling mewah Ultra Luxury 6-tempat duduk. Namun kedua-duanya menerima versi dua motor yang memacu semua roda menghasilkan kuasa 603 hp dan tork maksima 693 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat!

Model pasaran Malaysia ini disahkan menerima bateri NMC berkapasiti 116 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 582 km dalam kitaran ujian WLTP. Dengan sistem pengecas pantas DC membolehkan kuasa dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa hanya 30 minit.

Sama seperti model-model Zeekr yang lain, 009 diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture atau SEA binaan Geely. Ia menampilkan dimensi panjang 5,209 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,856 mm dan jarak roda sejauh 3,205 mm. Jadi saiz MPV dari Zeekr ini jelas lebih besar dari Alphard kerana model keluaran Toyota berkenaan hanya dihasilkan dengan dimensi panjang 4,945 mm, lebar 1,850 mm serta jarak roda 3,000 mm.

Apa yang menarik, 009 ini juga merupakan asas kepada kembarnya dalam versi lebih mewah iaitu Volvo EM90. Namun berbeza dengan MPV Volvo yang lebih mewah berkenaan hanya digerakkan oleh motor tunggal berkuasa 272 PS/343 Nm bagi memacu roda belakang.

Zeekr 009 pasaran Malaysia ini menerima tempat duduk hadapan dan pemandu larasan kuasa 12-hala dengan fungsi memori, pengurut dan liang udara serta suis ‘bos’ pada bahagian penumpang. Untuk tempat duduk baris kedua ia diberikan rel gelangsar elektrik sepanjang 1.1 meter, manakala pada baris ketiga ia diberikan fungsi mudah masuk dan keluar dengan suis elektrik satu butang.

Zeekr 009 – tempahan di Malaysia kini dibuka; 603 hp/693 Nm, bawah RM370k, 6- & 7-tempat duduk

Bagi varian enam-tempat duduk pula, ia menerima tempat duduk Sofaro First Class Aeronautic pada baris kedua yang menampilkan perehat tangan lebar, perehat kaki boleh laras, liang udara serta fungsi pengurut dan memori.

Selain itu model pasaran Malaysia ini juga disahkan menerima lampu hadapan Matrix LED pintar, paparan instrumen digital dengan skrin LCD HD penuh 10.25-icni, paparan head-up AR 35.95-inci, pengecas telefon pantar tanpa wayar 50W dan sembilan port pengecas USB Type C.

Untuk sistem infotainmen, MPV ini diberikan skrin sesentuh OLED 15.05-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, skrin kabin belakang pada bumbung OLED 17-inci bersama skrin smart bar untuk baris kedua, serta sistem bunyi Yamaha dengan 30 pembesar suara termasuk laman perehat kepala tempat duduk.

Zeekr 009 – tempahan di Malaysia kini dibuka; 603 hp/693 Nm, bawah RM370k, 6- & 7-tempat duduk

MPV ini menerima konfigurasi suspensi jenis double wishbone yang dipadankan bersama suspensi udara dengan fungsi larasan ketinggian automatik. Zeekr mendakwa kabin 009 ini hanya menghasilkan bunyi serenade 64.5 dB pada kelajuan 120 km/j.

Untuk keselamatan pula Zeekr 009 pasaran Malaysia ini diberikan sistem pemantau pemandu (DMS) bagi mengesan tahap kecergasan pemandu, kamera 360 darjah dan perekod video digital, Kawalan kekal lorong (LLC), cruise control adaptif (ACC), sokongan pengelak pelanggaran hadapan (CMSF) dan belakang (CMSR), brek parkir kecemasan dan lain-lain.

Tiga warna badan ditawarkan untuk Zeekr 009 ini iaitu Phantom Black, Electric Blue dan Crystal White Pearl. Ia boleh dipadankan dengan upholsteri kulit Nappa dalam kabin dengan pilihan tema warna hitam, Stone Grey dan Polar White atau Midnight Blue dan Polar White.

Tempahan Zeekr 009 ini boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web rasmi Zeekr Malaysia pada PAUTAN INI. Setiap tempahan perlu disertakan dengan yuran sebanyak RM4,000.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required