EON, yang merupakan kumpulan pengedaran Proton terbesar di Malaysia dengan memiliki tidak kurang daripada 10 cawangan di seluruh negara, kini bersesia untuk melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama nasional, Proton eMas 7.
Syarikat ini telah pun mewujudkan laman web khusus untuk eMas 7 yang akan datang, di mana pihak yang berminat boleh mendaftarkan minat mereka terhadap SUV elektrik itu.
Selain itu, EON juga telah mengesahkan bahawa bilik pameran Proton eMas kini sedang dalam kerja-kerja persiapan dan akan dibuka tidak lama lagi di EON Glenmarie, betul-betul bersebelahan pusat pintar 3S sedia ada. Apabila beroperasi kela, ia akan menyertai barisan pengedar automotif EON termasuk Proton, Mitsubishi, Isuzu, Audi, Volkswagen, Daihatsu dan smart.
EON juga merancang untuk mengadakan pratonton eksklusif Proton eMas 7 menjelang akhir bulan ini, di mana pelanggan yang berminat akan dapat membuat pra-tempah model baharu yang hangat itu. Bahkan memberikan jaminan bahawa anda akan menjadi antara yang pertama menerima penghantaran EV pertama Proton sejurus selepas pelancarannya.
Proton eMas 7 dirancang akan dilancarkan pada hujung tahun ini dan dijangka menawarkan penjana kuasa yang sama dengan Geely Galaxy E5. Di mana E5 menawarkan motor hadapan tunggal yang mampu menghasilkan 218 PS (160 kW) dan tork 320 Nm, dengan pecutan dari 0 ke 100 km/j dalam 6.9 saat. Ia juga menawarkan dua pilihan bateri iaitu 49.52 kWh dengan jarak gerak 440 km mengikuta kitaran CLTS dan 60.22 kWh yang mampu mencapai hingga 530 km dalam pengecasan tunggal.
Buat masa ini, ia sedang giat menjalankan ujian tempatan yang meluas menjelang pelancarannya, termasuklah menyemak semula talaan suspensi untuk pasaran Malaysia, yang diawasi oleh pasukan pengendalian Proton. SUV elektrik segmen-C ini juga akan menjalani ujian meredah air sedalam 400 mm yang dilakukan khas untuk pasaran kita, di mana tahap tersebut lebih tinggi berbanding dari E5 sendiri.
Proton eMas 7 juga bakal dipamerkan di paultan.org Auto Car Expo (ACE) 2024 yang akan berlangsung pada 26-27 Oktober ini di Setia City Convention Centre (SCCC). Di mana buat pertama kalinya, orang ramai boleh melihat sendiri rekaan kabinnya. Tiada bayaran tiket dikenakan. Bagi anda yang berminat dengan EV pertama Proton ini, anda sudah boleh mengisi pendaftaran minat menerusi laman web khas EON ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.