Perodua Alza MPV segmen-B terlaris di Malaysia, jauh tinggalkan Mitsubishi Xpander dan Toyota Veloz

Perodua Alza MPV segmen-B terlaris di Malaysia, jauh tinggalkan Mitsubishi Xpander dan Toyota Veloz

Berdasarkan data JPJ untuk lapan bulan pertama 2024, Perodua Alza kini mendominasi sepenuhnya pasaran MPV segmen-B di Malaysia dengan mencatatkan pendaftaran sebanyak 28,967 unit antara Januari dan Ogos tahun ini. Ia jauh meninggalkan MPV bukan nasional nombor 1 di Malaysia iaitu Mitsubishi Xpander yang mencatatkan pendaftaran sebanyak 5,902 unit, dan tempat ketiga pula adalah Toyota Veloz dengan pendaftaran sebanyak 4,433 unit.

Kelebihan bagi Alza generasi kedua ini sudah tentu atas faktor perincian yang banyak dan juga harga yang rendah ditawarkan oleh Perodua. Dilancarkan pada Julai 2022, model ini dibina berasaskan platform generasi baharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang jauh lebih moden berbanding versi generasi pertama yang telah dijual selama 13-tahun.

Dengan enjin 2NR-VE 1.5 liter empat silinder dipadankan bersama kotak gear D-CVT serta pelbagai perincian seperti lampu hadapan LED automatik, enam beg-udara, brek kecemasan automatik dan banyak lagi untuk varian paling asas, Alza dijual pada harga bermula RM62,500 hingga RM75,500.

Perodua Alza MPV segmen-B terlaris di Malaysia, jauh tinggalkan Mitsubishi Xpander dan Toyota Veloz

Klik untuk besarkan

Bagi Toyota Veloz, ia sebenarnya merupakan kembar Perodua Alza dan diproduksi dikilang yang sama iaitu di kilang Perodua Manufacturing Sdn Bhd (PMSB) Sungai Choh. Dengan harga RM20,000 lebih mahal dan dilancarkan tiga bulan lewat selepas Alza, Veloz menerima muka yang berbeza, lampu nyalaan siang LED sebagai ciri standard, ruang roda yang nampak lebih lasak, jarak kelegaan tanah 30 mm lebih tinggi, Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, pengecas tanpa wayar, larasan teleskopik pada roda stereng dan pelbagai lagi.

Data yang dibekalkan oleh JPJ ini hanyalah sehingga bulan Ogos, jadi ia tidak termasuk model facelift Mitsubishi Xpander yang baru dilancarkan bulan lalu. Xpander mula dijual pada 2020 dan ketika itu ditawarkan dengan harga RM92k. Harga tersebut kemudiannya naik dari masa ke masa, tetapi masih mampu kekal sebagai MPV segmen-B paling laris di Malaysia dengan jualan tahunan sebanyak 10,000 unit secara purata.

Mitsubishi Xpander facelift masih lagi ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) menerusi kilang di Pekan, Pahang. Ia juga masih menerima enjin 4A91 1.5 liter empat silinder, dan tidak seperti pasaran lain yang telah beralih ke kotak gear CVT, model pasaran Malaysia ini masih kekal menggunakan kotak gear automatik empat kelajuan konvensional.

Antara pembaharuan yang diberikan pada Xpander facelift tersebut termasuk rombakan rupa pada bahagian muka dan belakang, rim aloi 17-inci, papan pemuka dan roda stereng baharu, penghawa dingin digital, brek parkir elektronik dengan auto-hold, port USB-C dan USB-A pada bahagian belakang perehat tangan hadapan, dan ia kini ditawarkan dalam dua varian berbeza.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required