Ducati memperkenalkan dua varian baru untuk Scrambler 803, dipanggil sebagai Icon Dark dan Full Throttle. Dua model ini membawa penampilan yang berbeza, sementara ciri teknikal masihnya tidak berubah seperti Scrambler generasi kedua yang diperkenalkan pada tahun 2022.
Bagi Icon Dark, secara asasnya ia sama sahaja seperti Scrambler Icon yang merupakan versi asas, tetapi ia dijadikan serba gelap dengan sebahagian besar panel serta enjinnya menggunakan warna hitam. Kemudiannya, tiada panel penghadang lumpur di bawah bahagian belakang tempat duduk, dan tempat meletak nombor plet dijadikan lebih ringkas.
Full Throttle juga mendapat perincian bahagian belakang yang sama, tetapi kemudiannya ia ditambah dengan panel tepi yang menempatkan nombor 62 (simbolik tahun Ducati Scrambler pertama diperkenalkan), penghadang lumpur hadapan yang pendek seperti Nightshift serta pemegang yang lebih rendah.
Sebagai varian Scrambler 803 yang paling tinggi, Full Throttle didatangkan secara standard dengan ekzos Termignoni, quickshifter serta lampu penunjuk arah LED Ducati Performance. Meskipun sebelum ini sudah ada Scrambler Full Throttle, ia cuma ditawarkan dalam warna merah, sementara model baru ini menggunakan warna gabungan hitam dan emas.
Seperti yang dinyatakan awal tadi, bahagian mekanikal tidak berubah, bermula dengan enjin yang menggunakan unit Desmodue dua silinder L 803 cc penyejukan udara yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 73 hp pada 8,250 rpm dan tork 65.2 Nm pada 7,000 rpm.
Melalui penggunaan sistem ride-by-wire, Scrambler ini dapat menyediakan dua mod tunggangan (Road dan Wet), kawalan cengkaman dan Cornering ABS. Informasi penting motosikal dipaparkan melalui skrin TFT 4.3 inci berwarna penuh dan ia juga boleh disambung kepada telefon pintar (pilihan tambahan).
Rim aluminium berbeza saiz digunakan pada Scrambler, iaitu 18 inci dengan tayar 110/80 di hadapan dan 17 inci dengan tayar 180/55 di belakang. Memegangnya masing-masing adalah fork USD 41 mm dan monoshock Kayaba dengan pelarasan pra beban, sementara brek pula terdiri daripada unit cakera tunggal 330 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan dan cakera tunggal 245 mm dengan angkup satu piston di belakang.
Perincian lain Scrambler Icon Dark dan Full Throttle juga adalah sama, termasuk berat tanpa minyak 176 kg, tangki bahan api 14.5 liter serta tinggi tempat duduk 795 mm.
GALERI: Ducati Scrambler Icon Dark 2025
GALERI: Ducati Scrambler Full Throttle 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.