Selepas melancarkan Svartpilen 801 Mac lalu, Husqvarna kini memperkenalkan pula Vitpilen 801. Untuk pengetahuan, dua model ini sebenarnya berkongsi asas sama, tetapi konsep gayanya adalah berbeza dengan Svartpilen menggunakan inspirasi scrambler, sementara Vitpilen pula lebih kepada roadster.
Bahagian yang berbeza antaranya adalah pemegang (lebih tinggi pada Svartpilen), lampu hadapan, panel tepi radiator, fender hadapan serta tayar. Kemudiannya, Vitpilen ditambah dengan panel plastik di bahagian bawah enjinnya.
Kuasa penggerak datang daripada enjin dua silinder selari 799 cc DOHC, yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan 105 hp pada 9,250 rpm dan tork 87 Nm pada 8,000 rpm. Selain datang dengan klac jenis slipper, pemilik juga boleh mendapatkan quickshifter yang dipanggil oleh Husqvarna sebagai Easy Shift (tambahan).
Empat mod tunggangan disediakan pada motosikal ini, dengan tiga daripadanya, iaitu Street, Sport dan Rain sudah mempunyai parameter yang ditetapkan, sementara mod Dynamic memberikan kebebasan kepada penunggang untuk menetapkan tahap maklum balas pendikit, kawalan cengkaman dan beberapa lagi fungsi.
Sistem brek Cornering ABS dan Motorcycle Traction Control (MTC) yang boleh ditutup diberikan secara standard pada Vitpilen 801, tetapi untuk mendapatkan fungsi Anti-Wheelie (boleh ditetapkan dalam beberapa tahap), pemilik perlu mendapatkan pakej Dynamic Pack yang turut menyediakan pelarasan lebih luas untuk beberapa sistem lain.
Rim Vitpilen 801 menggunakan unit aluminium 17 inci dan ia dipegang oleh fork WP Apex 43 mm boleh laras dengan jarak gerak 140 mm di hadapan dan monoshock WP Apex dengan jarak gerak 150 mm di belakang. Kelengkapan brek datang daripada J.Juan dengan tetapan cakera berkembar 300 mm dan angkup empat piston di hadapan, serta cakera tunggal 240 mm dengan angkup satu piston di belakang.
Skrin TFT lima inci digunakan untuk memaparkan informasi penting motosikal, dan ia juga boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Ride Husqvarna Motorcycles untuk memaparkan arah navigasi serta kawalan panggilan dan muzik.
Seperti biasa, Husqvarna cuma mendedahkan berat kering motosikal ini, iaitu 180 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api 14 liter. Turut disediakan sebagai pilihan tambahan adalah fungsi cruise control.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.