Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2024 secara rasminya diumumkan akan berlangsung pada 8 hingga November ini, diadakan di tempat sama penganjuran kali pertamanya tahun lalu iaitu di di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Acara ini dianjurkan oleh Element X Strategies sebagai Pemegang Lesen Rasmi Tunggal dan MUSE Group Asia sebagai Penganjur Bersama, dengan kerjasama San Ei Corporation sebagai pemilik harta intelek Tokyo Auto Salon, dan Persekutuan Tokyo Auto Salon. Buat masa sekarang Malaysia masih merupakan satu-satunya negara yang diberi hak untuk menganjurkan Tokyo Auto Salon di luar Jepun.
Bagi tahun ini TASKL menampilkan ruang acara seluas iaitu 170,000 kaki persegi berbanding 130,000 kaki persegi tahun lalu. Ia akan membawa semula penala-penala terbaik Jepun ke Malaysia antaranya Smoky Nagata dari Top Secret, Veilside, Trust/Greddy dan lain-lain. Selain itu jenama seperti Option, Tomica dan juga San Ei Corporation turut dibawa bagi memberikan suasana seperti benar-benar di Makuhari Messe.
Sebanyak 300 kereta ubahsuai akan dipamerkan pada acara ini, di mana 15 unit daripadanya dibawakan khas dari Jepun. Antara aktiviti yang akan berlangsung termasuk pertandingan autoshow yang akan diadili oleh juri dari kalangan penala-penala Jepun, perhimpunan kelab-kelab kereta, jualan baran-barang kenderaan, demonstrasi drift, cabaran perlumbaan simulator, pertandingan audio kenderaan, pertandingan pop & bang dan juga persembahan-persembahan secara langsung.
Bagi yang mengumpul kereta model skala, TASKL 2024 turut bakal menampilkan model edisi terhad Nissan GT-R R33 Nismo 400R yang dihasilkan sempena acara ini. Ia merupakan model diecast keluaran Inno64 dalam skala 1/64, menampilkan warna chameleon dan juga logo TASKL 2024 pada bahagian sisi. Untuk membeli kereta ini, anda perlulah membeli tiket terlebih dahulu sama ada secara atas talian atau di kaunter, sementara stok masih ada.
Acara ini turut menawarkan hadiah cabutan bertuah iaitu sebuah Honda Civic Type R FK8 yang diberikan kit dan beberapa peralatan dari Mugen. Kereta tersebut merupakan model 2019 tetapi masih belum didaftarkan di Malaysia, dan menerima beberapa peralatan tingkat taraf termasuk kit badan Mugen, tombol gear Mugen, lampu belakang Mugen, set rim aloi forged Rays Engineering TE37 berdiameter 20-inci dan juga sistem ekzos aftermarket.
Untuk membolehkan anda layak mendapat peluang memenangi FK8 tersebut, pengunjung terlebih dahulu perlu membeli tiket dan kemudian membuat bayaran tambahan sebanyak RM28. Tiket bertuah berkenaan akan dicabut di pentas utama pada pukul 8 malam hari terakhir acara itu berlangsung iaitu pada 10 November 2024. Sekiranya pemenang tersebut tidak berada di tapak acara berkenaan, pihak penganjur akan menghubunginya melalui telefon.
Namun sekiranya tiga kali panggilan tidak dijawab, penganjur akan membuat cabutan yang lain. Sekiranya panggilan dijawab, pemenang tersebut masih perlu menjawab tiga soalan mudah bagi melayakkannya sebagai pemenang Civic Type R tersebut. Walau bagaimanapun kos untuk pendaftaran termasuk insuran, cukai jalan, pengangkutan dan lain-lain yang berkaitan perlu ditanggung oleh pemenang.
Tiket untuk TASKL 2024 kini sudahpun mula dijual atas talian menerusi laman web rasmi acara ini. Pengunjung masih boleh membeli tiket berkenaan menerusi kaunter yang dibuka di MITEC, namun ia mesti dibeli sebelumnya pukul 6 petang pada 10 November.
Selain itu, sebuah BMW E36 325i yang telah diubahsuai juga turut ditawarkan sebagai hadiah menerusi pertandingan yang dianjurkan oleh salah satu pempamer di TASKL 2024 ini iaitu YRN Custom. Pertandingan ini dibuka untuk semua pengunjung TASKL 2024 yang telah berbelanja sekurang-kurangnya RM15, dan pemenang akan diumum pada 10 November.
“Dengan 91,000 pelawat yang direkodkan di Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur yang julung kali diadakan pada 2023, kami perlu meningkatkan tahap acara kami tahun ini. Jangkaan daripada peminat akan terus meningkat dan yakinlah, kami telah menyusun rancangan yang tidak akan mengecewakan mereka,” kata Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Element X Strategies Jason Yap.
“Seperti acara asal di Jepun, banyak perancangan dan persiapan telah dilakukan untuk memastikan pameran tahun ini terus mengatasi jangkaan peminat,” tambahnya
“Penala dan pempamer Jepun yang mengambil bahagian pada 2023 sangat terkejut dengan penerimaan peminat Malaysia yang mereka akan kembali dengan cara yang lebih besar tahun ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MUSE Asia Encik Riduwan Matni pula.
Tiket biasa untuk acara itu dijual pada harga RM60 untuk sehari, manakala pas untuk tiga hari turut ditawarkan dengan harga RM120. Tiket untuk kanak-kanak berumur antara 6 dan 12 tahun pula dijual pada harga RM30 sehari dan RM60 untuk pas 3 hari. Kanak-kanak di bawah umur 6 tahun pula boleh masuk secara percuma, manakala untuk pemegang kad OKU (termasuk 1 penjaga jika diperlukan) pula berhak mendapat potongan 50% daripada harga tiket.
Tahun ini TASKL turut memperkenalkan tiket Express Lane berharga RM80 sehari bagi membolehkan anda ‘memotong barisan pada hari acara tersebut berlangsung. Untuk lebih istimewa, anda juga boleh membeli pas VIP berharga RM150 sehari yang melayakkan pemegang tiket akses percuma ke ruang lounge VIP.
Tak cukup dengan itu pihak penganjur juga menyediakan akses istimewa Black Tag pada harga RM1,500. Dengan Black Tag ini anda akan menerima keistimewaan termasuk akses untuk 3 hari penuh termasuk ke lounge Black Tag dan Japan Pavillion Cars, parkir valet percuma, barangan-barangan eksklusif TASKL 2024 dan banyak lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.