GWM Haval H6 HEV 2024 dilancarkan di Malaysia; RM140k, 243 PS, waranti enjin & hibrid 1 juta KM

GWM Haval H6 HEV 2024 dilancarkan di Malaysia; RM140k, 243 PS, waranti enjin & hibrid 1 juta KM

GWM Malaysia hari ini secara rasminya telah pun melancarkan Haval H6 pada pasaran Malaysia. Ia ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu HEV Ultra yang datang dengan unit rangkaian kuasa hibrid petrol elektrik, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM139,800.

Operasi pemasangan tempatan (CKD) model ini telah pun bermula di mana kilang milik EP Manufacturing Berhad (EPMB) yang terletak di Taman Perindustrian Hicom Pegoh, Melaka tersebut telahpun mula menghasilkan unit pertamanya bulan lalu. Namun sebelum ini kami difahamkan bahawa bagi 100 unit pertama adalah unit CBU yang diimport terus dari China.

Model ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,683 mm, lebar 1,886 mm dan tinggi 1,724 mm. Jarak rodanya pula adalah sejauh 2,738 mm, lebih jauh berbanding saingan-saingan terdekatnya seperti Proton X70 (2,670 mm), Honda CR-V (2,660 mm) dan Mazda CX-5 (2,700 mm).

GWM Haval H6 HEV 2024 dilancarkan di Malaysia; RM140k, 243 PS, waranti enjin & hibrid 1 juta KM

Manakala untuk unit rangkaian kuasa, ia menggabungkan enjin empat silinder 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS/230 Nm dengan motor elektrik 177 PS/300 Nm yang disepadukan dalam transmisi DHT dua kelajuan. Ini membolehkan kuasa keseluruhan yang dibekalkan adalah 243 PS dan 530 Nm, dengan penggunaan bahan api di sekitar 5.2l/100 km.

Antara perincian standard yang diberikan pada Haval H6 Hybrid Ultra pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan LED matrix, gril hadapan ‘Star Matrix’, bumbung suria panaromik dan rim aloi 19-inci dalam kemasan hitam berkilat.

Manakala pada bahagian kabin, ia diberikan skrin infotainmen 12.3-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay dan juga paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci.

GWM Haval H6 HEV 2024 dilancarkan di Malaysia; RM140k, 243 PS, waranti enjin & hibrid 1 juta KM

Perincian standard lain yang turut diberikan termasuk sistem pendingin hawa dua-zon dengan pembersih udara ion negatif, liang penghembus kabin belakang, lampu suasana kabin, cermin pandang belakang auto-malap, pintu tailgate bantuan kuasa dengan penderia kaki, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, tempat duduk ‘bos’ untuk penumpang hadapan dengan suis larasan pada bahagian bahu, paparan head-up dan sistem audio dengan lapan pembesar suara.

Lima warna badan ditawarkan untuk Haval H6 pasaran Malaysia ini iaitu Energy Green, Sun Black, Ayers Silver, Hamilton White dan Crayon Grey. Manakala pada sebelah dalam ia menerima balutan kulit Nappa dengan tema yang menggabungkan warna hitam dan putih serta perapi-perapi kemasan Rose Gold.

Untuk kelengkapan keselamatan pula, ia diberikan enam-beg udara, kamera 360-darjah, sistem bantuan parkir, dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif kelajuan penuh, bantuan kesesakan trafik, amaran lintasan trafik belakang serta bantuan tukar lorong.

Setiap pembelian Haval H6 HEV ini ditawarkan dengan waranti kenderaan dari pengeluar selama 7 tahun atau 200,000km. Ia juga diberikan waranti khas untuk enjin selama 10-tahun atau sejuta kilometer (yang mana sampai dahulu) dan juga waranti untuk sistem hibrid elektrik selama 8-tahun atau sejuta kilometer (yang mana sampai dahulu).

Waranti enjin dan sistem hibrid berkenaan hanya sah untuk pemilik pertama dan didaftarkan sebagai kenderaan persendirian sahaja. Untuk sistem hibrid elektrik tersebut komponen yang terlibat dalam waranti yang ditawarkan adalah termasuk kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT), bateri dan kabel voltan tinggi dan juga kotak komputer kawalan transmisi (TCU).

Khas untuk pembeli terawal, GWM Malaysia menawarkan rebat sebanyak RM3,000 bagi mereka yang tempahan sebelum 20 Oktober 2024. Selain itu pembeli yang mendaftar Haval H6 mereka pada tahun 2024 turut akan menerima pakej servis percuma (termasuk kos buruh dan alat ganti) selama 5 tahun. Manakala jika anda merupakan seorang pemilik mana-mana kenderaan jenama Haval, GWM Malaysia turut memberikan rebat tambahan sebanyak RM3,000 sekiranya embelli SUV ini.

Sebelum dilancarkan, kami telahpun menguji SUV ini dan laporan pandu uji tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required