Indonesia merancang untuk melaksanakan campuran wajib 50% minyak sawit biodiesel menjelang awal tahun depan. Menurut bakal Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, itu akan mengurangkan perbelanjaan import bahan api Indonesia sebanyak US$20 bilion (RM85.6 bilion) setahun, lapor Reuters.
Indonesia merancang untuk meningkatkan campuran dalam biodieselnya daripada 35% kepada 40% menjelang Januari tahun depan dalam usahanya untuk mengurangkan import bahan api dan emisi dari bahan api fosil.
Persatuan Pengeluar Bahan Api Bio Indonesia (APROBI), pula memaklumkan, pengeluar biodiesel memerlukan masa untuk menguji campuran biodiesel B50 dan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan.
“Sesetengah pengeluar biodiesel mungkin perlu masang kelengkapan baru untuk memenuhi standard, dan ini memerlukan enam bulan. Setelah itu, ujian komersialisasi, yang turut memerlukan ujian ke atas kenderaan serta ujian penyimpanannya juga memerlukan enam bulan,” jelas pakar biodiesel Institut Teknologi Bandung, Tatang Hernas Soerawidjaja.
Di Malaysia, mandat untuk campuran biodiesel B30 merupakan sebahagian daripada Rancangan Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu, yang telah meletakkan sasaran tahun 2030 untuk mandat B30 berkenaan dilaksanankan
Ketika ini, jualan runcit diesel campuran B7 dibezakan dengan penggunaan kepala pam biru, manakala campuran B10 pula menggunakan kepala pam hitam di semua stesen minyak. Setakat minggu lalu, diesel B10/B20 diijual dengan harga RM2.95 seliter, sementara campuran B7 dengan harga RM3.15 seliter. Diesel di Sabah dan Sarawak kekal RM2.15 seliter.
Beberapa produk trak komersial seperti Mercedes-Benz dan Mitsubishi Fuso telah mempersiap kenderaan mereka untuk boleh menggunakan campuran biodiesel yang lebih tinggi. Sebagai contoh, Mercedes Actros dan Arocs 2024, serta Mitsubishi Fuso Canter TF 2024 yang baru dilancarkan boleh menggunakan biodiesel B30.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.