Zeekr 009 sedang dipertontonkan di Sunway Pinnacle di Bandar Sunway, Subang Jaya. Walau pun belum dilancarkan secara rasmi, namun tempahannya telah dibuka, dan harganya dijangka di bawah RM370k.
MPV elektrik sepenuhnya ini diposisikan dalam segmen premium, dilihat mampu menyaingi Toyota Alphard dan Vellfire janaan-petrol. 009 berukuran 5,209 mm panjang, 2,024 mm lebar, 1,848 mm tinggi dan jarak dora 3,205 mm, di mana ia 200 mm lebih panjang, 174 mm lebih lebar dan lebih 205 mm bagi jarak rodanya berbanding dua MPV pesaingnya.
Bagi Alphard dan Vellfire, masing-masing dijual pada harga RM538,000 dan RM438,000, di mana 009 kurang RM168k berbanding Alphard dan kurang RM58k daripada Vellfire.
Untuk pasaran Malaysia, 009 akan ditawarkan dengan dua varian yang lebih kurang sama daripada segi spesifikasinya, yang membezakannya hanyalah jumlah tempat duduknya. Bagi varian Luxury, ia diberikan tujuh-tempat duduk dengan bentangan 2+2+3, sementara Ultra Luxury pula dengan enam-tempat duduk (2+2+2). Kedua-duanya diberikan upholstery kulit Nappa secara standard.
Selain itu, kedua-dua varian juga diberikan tempat duduk eksekutif bagi barisan kedua, tetapi Luxury menerima bangku yag lebih besar. Tempat duduk barisan hadapan dan kedua pula diberikan bangku larasan kuasa dengan fungsi ventilasi dan mengurut untuk semua semua varian. Eksklusif untuk Ultra Luxury pula, ia menerima tempat duduk eksekutif dengan alas meja yang boleh dilipat, bersama panel kawalan tersembunyi di bawah perehat tangan.
Ciri keselesaan lain untuk kedua-dua varian termasuklah panel sesentuh pada pintu gelangsar kuasa untuk akses yang lebih pantas dan kawalan suhu, peti sejuk, bumbung suria panoramik, paparan OLED 17-inci yang terpasang di bahagian siling (dengan kawalan jauh), dan kamera barisan kedua sekiranya anda ingin membuat panggilan video atau memantau penumpang anda.
Pada bahagian hadapannya, diberikan kluster instrumen digital 10.25-inci dan skrin sesentuh OLED 15.05-inci, dengan konsol tengah tinggi yang juga menjadi pad pengecas tanpa wayar 50W. Turut diberikan sebagai paparan utama 30.95-inci, telematik dengan sistem bunyi Yamaha bersama 30-pembesar suara.
Bagi penjana kuasanya, 009 menerima larasan dwi-motor dengan kuasa 612 PS (603 hp atau 450 kW) dan tork 693 Nm, membolehkan pecutan dari 0-100 km/j dalam 4.5 saat. Motornya dikuasakan oleh bateri nickel manganese cobalt (NMC) dengan kapasiti tinggi 116 kWh, yang boleh memberikannya jarak pacuan hingga 582 km mengikut standard WLTP.
MPV elektrik ini boleh dicas menggunakan pengecasan AC sehingga 11 kW dan pengecas pantas DC dengan kapasiti maksima cecah 150 kW yang membolehkan status mengecas bateri dari 10-80% dicapai dalam 30 minit. Suspensi udara juga diberikan secara standard untuk kedua-dua varian.
Bagi aspek keselamatan, MPV EV ini menerima tujuh beg udaram kamera 360-darjah, dan perakam video digital, serta sistem bantuan pemandu turut diberikan secara standard yang merangkumi sokongan mitigasi pelanggaran hadapan dan belakang, kawalan kelajuan adaptif, kawalan pemusatan lorong, bantuan kekal lorong, menukar lorong automatik, pengesan isyarat trafik, bantuan parkir automatik dan brek parkir autonomous (walau ketika parkir).
Manakalanya untuk warnanya pula, ia diberikan tiga pilihan iaitu Phantom Black, Electric Blue dan Crystal White, yang ditawarkan untuk kedua-dua varian. Manakala warna dalaman pula termasuk Hitam dan dwi-tona Midnight Blue/Polar White serta Stone Grey/Polar White.
Dengan kelengkapan dan spesifikasi yang ditawarkan, adakah 009 ini mampu memberi persaingan hebat buat Alphard dan Vellfire yang jauh lebih mahal daripadanya? Mana yang menjadi pilihan anda?
GALERI: Zeekr 009 6-tempat duduk
GALERI: Zeekr 009 7-tempat duduk
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.