Brembo ambil alih pengeluar suspensi premium Sweden, Öhlins dengan pegangan 100% dari Tenneco

Brembo ambil alih pengeluar suspensi premium Sweden, Öhlins dengan pegangan 100% dari Tenneco

Pengeluar brek dari Itali, Brembo mengumumkan pada 11 Oktober lalu bahawa ia kini menjadi pemilik bagi jenama suspensi premium, Öhlins. Pemilikan tersebut dibuat setelah Brembo menandatangani perjanjian dengan pemilik Öhlins sebelum ini iaitu Tenneco dengan pengambilihan 100% saham pembuat suspensi dari Sweden itu.

Sama seperti Brembo, Öhlins merupakan jenama yang sering dikaitkan dengan produk berprestasi tinggi dan terlibat dengan sukan permotoran seperti MotoGP, Formula 1, NASCAR dan banyak lagi. Ia bukan hanya menawarkan komponen-komponen pada pasaran aftermarket, malah turut membekalkan komponen-komponen asli untuk pengeluar automotif (OEM).

“Öhlins sangat sesuai untuk Brembo. Ia adalah jenama yang terkenal di dunia, dengan perniagaan yang kukuh dan reputasi yang tiada tandingan, baik di litar lumba dan jalan raya,” kata Pengerusi Eksekutif Brembo, Matteo Tiraboschi.

“Kami mengalu-alukan Öhlins ke kumpulan kami sebagai peluang yang baik untuk mengembangkan penawaran kami dalam pasaran automotif. Dengan tambahan ini, kami mengambil satu lagi langkah ke hadapan dalam strategi kami untuk menyediakan penyelesaian pintar bersepadu kepada pelanggan, memanfaatkan sinergi merentasi teknologi utama di sudut kenderaan,” tambahnya.

Diasaskan pada 1976 dan kini berpengkalan di Upplands Väsby, Stockholm, Sweden, Öhlins Racing kini mempunyai kira-kira 500 kakitangan di seluruh dunia. Ia mempunyai kilang dan juga pusat R&D di Sweden dan Thailand, serta empat cawangan untuk pengedaran dan ujian termasuk di Amerika Syarikat dan Jerman.

Öhlins Racing juga diunjurkan untuk menutup 2024 dengan perolehan dalam julat sekitar USD 144 juta, dengan jangkaan margin EBITDA diselaraskan antara 21% dan 22%. Syarikat itu kini komited untuk membangunkan teknologi suspensi mekatronik generasi seterusnya untuk kegunaan litar dan jalan raya.

“Pendekatan yang yang dipacu inovasi ini akan memperkukuhkan misi Brembo untuk menjadi penyedia solusi bagi mobiliti masa hadapan”, kata Brembo dalam kenyataan yang dikeluarkan.

“Sempena penggabungan dengan Brembo, kami teruja untuk membuka peluang pertumbuhan baharu dan memanfaatkan kekuatan dan aset masing-masing untuk memacu inovasi dan memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan dan pekerja kami,” kata CEO Öhlins Racing Tom Wittenschlaeger.

Brembo ambil alih pengeluar suspensi premium Sweden, Öhlins dengan pegangan 100% dari Tenneco

Brembo menyatakan bahawa perjanjian ini menandakan pemerolehan terbesar dalam sejarahnya dengan harga belian berjumlah USD 405 juta secara bebas tunai/bebas hutang, tertakluk kepada mekanisme pelarasan harga biasa. Pemerolehan akan dibayar menggunakan wang tunai yang ada serta tertakluk kepada kelulusan kawal selia biasa dan dijangka dimuktamadkan pada awal 2025.

Pada 2021 kumpulan Brembo telahpun membeli SBS Friction di Denmark dan J.Juan di Sepanyol bagi melengkapkan penawaran solusi untuk sistem brek motosikal. Manakala pada Februari tahun ini, Brembo mengumumkan pembukaan kilangnya di Thailand untuk membekalkan brek kepada pengeluar motosikal. Brembo kini turut mengawal pengeluar rim aloi ringan untuk motosikal perlumbaan dan jalan raya iaitu Merchesini.

Menurut Brembo lagi perniagaan berkaitan motosikal kini mencapai 13% kira-kira 13% daripada jumlah hasilnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required