Sejak melancarkan versi CKD bagi GAC GS3 Emzoom pada Ogos lalu, hanya satu varian sahaja yang diperkenalkan iaitu Premium-R. WTC Automotif (WCTA), anak syarikat Warisan TC Holdings kini melancarkan satu lagi varian iaitu Standard, yang ditawarkan pada harga RM103,800, dan juga varian Exclusive yang diperkenalkan semula sebagai model CKD berharga RM116,800 (kurang RM2k daripada versi CBU).
SUV segmen-B itu kini ditawarkan dalam varian Standard, Exclusive dan Premium-R (kekal berharga RM126,800), dengan kesemuanya dikeluarkan secara pemasangan tempatan oleh Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Segambut dan masih menggunakan enjin yang sama iaitu 1.5 liter turbo empat-silinder 177 PS/270 Nm dan DCT basah tujuh-kelajuan.
Semua varian menerima lampu utama LED yang boleh dilaras ketinggian, lampu nyalaan siang LED, pemegang pintu elektrikal, brek parkir elektronik dengan penahan auto, serta skrin sesentuh infotainmen 10.25-inci dengan Apple CarPlay tabpa wayar dan mirroring dengan telefon pintar Android.
Spesifikasi Exclusive lebih kurang sama dengan versi CBU, tetapi bagi varian asas baharu, Standard, pastinya ciri yang diberikan tidak seperti varian pertengahan itu, termasuk corong udara di belakang, lampu membaca di belakang, port USB belakang, dan kamera pandangan sekeliling (hanya ada kamera undur). Di dalamnya, ia diberikan pendingin hawa manual, roda stereng urethane, tempat duduk fabrik, hanya dua pembesar suara, dial analog dan kawalan kelajuan konvensional.
Bagi aspek keselamatan, walaupun varian Standard memiliki ABS dengan EBD dan ESP, ia juga diberikan dua beg udara hadapan (Exclusive dapat empat unit, Premium-R dengan enam unit), dan tiada ADAS. Untuk luaran, Standard dan Exclusive lebih kurang sama, dengan roda aloi 18-inci yang dibaluti tayar 225/55.
Bagi pilihan waranya pula, GS3 Emzoom Standard menerima rona Frost White dan Asphalt Black, sementara Exclusive ditawarkan dengan dua lagi warna tambahan iaitu Salt Lake Blue dan Superstar Silver. Manakala Premium-R menerima empat warna tersebut selain Graphite Grey, dengan GAC Malaysia menambah Asphalt Black dan Graphite Grey sebagai warna eksklusif untuk pasaran tempatan.
GAC GS3 Emzoom 2024 terus diberikan waranti lima-tahun/150,000 km dan juga tambahan tujuh-tahun/180,000 km untuk enjin dan transmisi untuk 2,000 pelanggan pertama. Buat masa ini sudah ada 20 bilik pameran dan pusat servis GAC di seluruh negara.
Bagi meraikan kejayaan projek GAC CKD pertamanya, WTCA menawarkan rebat tunai masing-masing RM5,000 dan RM7,000 untuk varian Eksklusif dan Premium-R, sehingga akhir tahun ini. Terdapat juga pilihan penggabungan nilai untuk wang Perkhidmatan Penyelenggaraan Percuma dan Kunci Jam Pintar bernilai RM1,388 sebagai ganti rebat tunai yang lebih rendah.
GAC GS3 Emzoom Standard 2024 di Malaysia
GAC GS3 Emzoom Exclusive 2024 di Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.