Jaecoo kini membuka pendaftaran minat untuk Jaecoo J7 PHEV yang sebelum ini pernah dipertontonkan di Malaysia Mei lalu. Untuk pengetahuan, ini adalah versi plug-in hybrid bagi Jaecoo J7 yang dilancarkan di Malaysia Julai lalu.
J7 PHEV digerakkan oleh enjin petrol 1.5 TGDi yang dipadankan bersama transmisi hibrid DHT dan motor elektrik pada gandar roda hadapan. Tetapan ini secara keseluruhannya mampu menghasilkan 347 PS dan tork 525 Nm.
Sebagai perbandingan, J7 petrol yang dilancarkan sebelum ini pula menggunakan enjin 1.6 liter turbo, yang dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, mampu menghasilkan 197 PS dan 290 Nm untuk dihantar ke dua roda hadapan.
Bagi J7 PHEV, ia dikatakan dapat memberi jarak gerak elektrik sehingga 88 km, sementara dengan fungsi hibrid penuh, ia boleh memberi catatan penggunaan bahan api 4.9 l/100 km atau 20.4 km/l. Menurut Jaecoo, dengan bateri penuh dan tangki bahan api 60 liter, J7 PHEV boleh bergerak sehingga 1,200 km.
Membezakan J7 PHEV dengan kebanyakan kenderaan plug-in hybrid lain adalah ia boleh menerima pengecasan pantas DC, melalui soket pengecas CC2 yang disediakan. Selain daripada itu, ia juga menawarkan fungsi V2L (vehicle-to-load).
Di dalam, susun atur papan pemuka adalah sama sahaja seperti J7 petrol biasa, dengan terdapat panel instrumen 10.25 inci di hadapan pemandu, serta skrin sesentuh 14.8 inci menegak di tengah untuk sistem infotainmen.
Bahagian konsol tengah bagaimanapun terdapat beza, dengan versi PHEV tidak mempunyai pemilih gear dan dua lubang untuk meletak cawan di letakkan secara bersebelahan dan bukannya menegak. Kemudian di bawahnya terdapat beberapa butang termasuk untuk lampu kecemasan dan pemilihan mod pemanduan.
Semasa pelancaran, Jaecoo J7 versi petrol dijual pada harga bermula RM138,800, iaitu untuk varian 2WD, kemudiannya diikuti RM148,800 untuk varian 4WD. Berkemungkinan, model PHEV ini nanti akan dijual pada harga sedikit lebih tinggi. Jika berminat dengan Jaecoo J7 PHEV, anda boleh membuat pendaftaran di sini.
GALERI: Jaecoo J7 PHEV yang dipertontonkan di Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.