Walaupun sudah ‘berkeliaran’ menjelajah serata semenanjung Malaysia, sehingga kini Proton masih belum mendedahkan sebarang imej bahagian dalaman bagi model EV pertamanya iaitu Proton eMas 7. Namun menerusi hantaran yang dibuat di laman-laman sosialnya, foto beberapa perincian awalan bahagian kabin berkenaan telah pun ditunjukkan.
Dalam hantaran tersebut secara rasmi Proton mengumumkan bahawa eMas7 dilengkapi dengan skrin utama di tengah papan pemuka bersaiz 15.4-inci dengan paparan resolusi 2.5k, sama seperti yang diberikan pada kembarnya di pasaran China iaitu Geely Galaxy E5.
Begitu juga untuk pemandu, eMas 7 turut menerima kelengkapan sama seperti Galaxy E5 iaitu paparan instrumental digital dengan skrin bersaiz 10.2-inci.
Manakala dalam satu hantaran insta story laman sosial tersebut, Proton mengesahkan pula bahawa SUV EV ini turut menerima sistem bunyi Wanos 16-pembesar suara dari Flyme Sound, di mana sistem audio premium tersebut didakwa menawarkan ‘bunyi yang sangat jelas’. Pada Galaxy E5, sistem dengan 16-pembesar suara itu turut merangkumi pembesar suara yang diletakkan dalam perehat kepala tempat duduk.
Komponen-komponen dari jenama Flyme Auto dibekalkan oleh pembuat telefon pintar Geely iaitu Meizu. Geely mendakwa sistem ini akan menawarkan operasi antaramuka yang intuitif seperti menggunakan sebuah telefon pintar.
Dalam imej-imej yang disiarkan ini juga mendedahkan bahawa Proton memberikan tema warna hitam sepenuhnya pada bahagian kabin eMas 7 berkenaan. Ia adalah lebih sesuai dengan pasaran Malaysia berbanding tema kabin dengan warna light cream pada Geely Galaxy E5.
Beberapa hantaran yang dibuat pada laman-laman sosial rasmi sebelum ini sudah mendedahkan bahawa eMas 7 dipacu dengan unit rangkaian kuasa yang sama dengan Galaxy E5 iaitu motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS dan tork 320 Nm bagi memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.
Proton turut membuat penambahbaikkan pada eMas 7 ini bagi disesuaikan untuk kegunaan di Malaysia termasuk kebolehan meredah air 400 mm, lebih dalam dari yang boleh diredah oleh Galaxy E5 bagi memastikan EV ini tidak bermasalah untuk mengharungi musim tengkujuh dalam negara.
Jurucakap Proton juga mengesahkan bahawa talaan suspensi untuk eMas 7 adalah lebih baik dan sesuai untuk digunakan pada jalan raya tempatan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.