Bagaimana untuk membezakan siapa yang dapat harga RON 95 bersubsidi dan siapa yang tak dapat bila subsidi bersasar mula dilaksanakan pertengahan tahun depan?
Ketika pembentangan Belanjawan 2025 minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan 85% rakyat Malaysia tidak akan terkesan dengan pelaksanaan tersebut dan tetap akan membayar harga bersubsidi RM2.05 seliter seperti sebelumnya. Namun, bagi golongan T15 yang maha kaya, katanya, mereka akan membayar harga penuh ketika ini iaitu RM2.76 seliter.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, satu daripada cara yang sedang diperhalusi ketika ini adalah keperluan untuk mempamerkan kad pengenalan di stesen minyak sebelum boleh membuat isian minyak. “Ini bermakna akan ada kaedah dua harga — satu bagi rakyat biasa dan satu lagi bagi golongan T15 dan warga asing. Bagaimanapun, ini masih dalam peringkat cadangan, dan perincian lanjut akan diumum oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” ujar Loke yang dipetik dari The Edge.
Idea untuk menggunakan kad pengenalan ketika mengisi minyak bersubsidi ini bukanlah baru. Pada 2014, Timbalan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Ahmad Maslan pernah mengumumkan konsep yang sama untuk program penyelarasan semula subsidi petrol ketika itu.
Ketika itu, ia dicadangkan untuk berdasarkan tiga tahap harga RON95. Mereka yang berpendapatan RM5,000 ke bawah setiap bulan akan menerima subsidi penuh, sementara yang berpendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 akan dapat sebahagian subsidi. Mereka yang berpendapatan lebih daripada RM10,000 tidak akan menerima subsidi.
Menurut anda, kaedah apa yang paling berkesan untuk melaksanakan perkara ini?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.