Bank tarik kereta ada tunggakan bayaran, pemilik rosakkan kereta — apa cara terbaik hadapi situasi ini?

Bank tarik kereta ada tunggakan bayaran, pemilik rosakkan kereta — apa cara terbaik hadapi situasi ini?

Tular satu kejadian tarik kereta di media sosial, yang menyaksikan sekumpulan individu dirakam sedang merosakkan kenderaan yang ingin ditarik. Dalam hantaran di Facebook yang dikongsikan oleh akaun Rasis Jalil, difahamkan kemungkinan itu melibatkan kes sambung bayar dari pemilik asal — ansuran dibayar kepada pemilik asal, namun pemilik asal tidak menjelaskan bayaran berkenaan kepada bank, dan bank kemudiannya menghantar wakil untuk menarik kereta berkenaan.

Jika situasi itu benar, maka ini adalah contoh nyata yang terbaru tentang risiko membeli kereta secara sambung bayar. Ia akan mengheret pembeli ke dalam situasi yang merugikan. Perbuatan sambung bayar kenderaan ini memang salah, dan pembeli dari awal lagi akan berada dalam keadaan tiada sebarang jaminan ke atas pemilikan kenderaan tersebut. Jadi, jangan pernah terfikir untuk membeli kereta secara sambung bayar, tidak kisahlah dari adik-beradik atau rakan-rakan. Kalau mahu, lakukan dengan cara yang betul — pindah milik kenderaan.

Membeli dengan cara sambung bayar, pembeli tidak pernah mempunyai bukti untuk menyatakan yang kereta terbabit milik mereka. Ada banyak kes sama berlaku seperti itu: walaupun jadual pembayaran pembeli sangat elok kepada pemilik asal, atau bahkan sehingga langsai semua jumlah yang dipersetujui, kereta tersebut masih lagi bukan di bawah nama pembeli.

Dan ada kes, setelah selesai bayar jumlah ansuran bank, pemilik asal mengambil semula kenderaan mereka — di atas kertas, memang pemilik asal masih lagi pemilik yang sah, dan pembeli tidak berada dalam keadaan yang menyebelahi mereka untuk membuat tuntutan. Jadi, jangan meletakkan diri anda dalam keadaan ini. Untuk berhadapan dan mengalami intimidasi sepanjang proses tarik kereta juga boleh jadi satu pengalaman yang membawa trauma kepada sesetengah orang.

Namun, ada lagi satu sisi lain juga yang boleh dipelajari dari kes ini. Jika bank menarik semula kenderaan yang ada tunggakan bayaran, jangan rosakan kenderaan terbabit. Walaupun dalam kes di atas pembeli mungkin marah dan dengan sengaja ingin merosakan kenderaan kerana sakit hati serta ingin membalas perbuatan pemilik asal, dalam keadaan apa pun jangan rosakan kenderaan tersebut kerana ia boleh menjadi satu kes lain, vandalisme atau merosakan harta benda misalnya — dan kesalahan itu boleh didakwa.

Bank tarik kereta ada tunggakan bayaran, pemilik rosakkan kereta — apa cara terbaik hadapi situasi ini?

Seorang lagi pengguna Facebook, Azizul Azli Ahmad berkongsi pandangan yang lebih lanjut tentang bagaimana untuk berhadapan dengan situasi tarik kereta, terutama sekali jika kita sendiri adalah pemilik kenderaan tersebut.

Secara ringkas, Azizul menyarankan agar pemilik yang berdepan situasi seperti itu agar kekal rasional dan mengambil langkah yang diplomatik. Hutang memang perlu dibayar, dan untungnya berususan dengan bank, semua itu boleh dibincangkan semula — mungkin dengan penalti ke atas kegagalan kita yang gagal melangsaikan ansuran bulanan. Selalu ada jalan yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah itu.

Berkaitan merosakkan kenderaan, Azizul turut menyatakan itu adalah satu tindakan yang sama sekali tidak perlu dilakukan. Tulisnya: “8. Jangan rosakkan kenderaan: hutang kenderaan masih atas nama kita, merosakkan kenderaan hanya akan mengurangkan nilai kenderaan. Semakin rendah nilai, semakin besar hutang kita.”

Perkara terbaik untuk dilakukan dalam situasi ini adalah pertama sekali bertenang terlebih dahulu, dan kemudian menghubungi bank untuk mencari penyelesaian yang wajar. Paling penting, jangan beli kereta dengan cara sambung bayar!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required