Nampaknya kembar Proton eMas 7 iaitu Geely Galaxy E5 bukan hanya akan dijual dalam versi elektrik penuh (EV), ia juga bakal tampil dengan versi yang dibekalkan enjin pembakaran dalaman bersama sistem hibrid plug-in (PHEV) tidak lama lagi.
Perkara ini terdedah apabila maklumat model baharu tersebut sudahpun disiarkan di dalam laman web rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China, dan model berkenaan diberi nama sebagai Geely Galaxy Starship 7, sama seperti model konsep yang didedahkan di Beijing awal tahun ini. Malah Geely sendiri baru sahaja menaikkan beberapa imej awalan di laman Weibo mereka.
Bentuk badan asas antara E5 dan juga Starship 7 ini nampak sama, tetapi ia dibezakan oleh beberapa perincian. Yang paling jelas adalah pada bahagian muka di mana model PHEV ini diberikan lampu hadapan dan grafik LED berbeza bersama bar LED yang merentangi sepenuhnya bahagian hadapan, serta bampar yang berlainan.
Pada bahagian sisi, selain dari rekaan rim aloi yang berbeza, Starship 7 ini juga nampaknya menerima pembuka pintu konvensional berbanding pembuka pintu tenggelam pada E5. Di belakang, kluster lampu masih lagi nampak sama tetapi grafik LED di dalamnya yang jelas berbeza.
Satu lagi perbezaan adalah kedudukan perumah nombor plat pendaftaran pada E5 yang berada pada bahagian bampar telah di alih ke atas iaitu pada pintu tailgate untuk Starship 7 ini.
Model PHEV ini menampilkan dimensi panjang keseluruhan 4,740 mm, lebar 1,905 mm, tinggi 1,685 mm dan juga jarak roda sejauh 2,755 mm. Jadi berbanding E5, saiz untuk Starship 7 ini sebenarnya sedikit berbeza kerana ia 125 mm lebih panjang, 4 mm lebih lebar, 15 mm lebih tinggi dan jarak rodanya juga adalah 5 mm lebih jauh.
Tiada sebarang spesifikasi teknikal didedahkan oleh Geely buat masa sekarang, dan hanya menyatakan bahawa ia akan menerima unit rangkaian kuasa generasi baharu yang dikenali sebagai ‘Thor’. Namun laporan CarNewsChina menyebut bahawa Starship 7 ini bakal menerima enjin 1.5 liter empat-silinder turbo yang menghasilkan kuasa 111 PS, bersama motor elektrik yang belum diketahui jumlah kuasanya.
Motor elektrik tersebut akan menerima kuasa dari pek bateri dengan pilihan kapasiti 19.09 kWj dan juga 28.94 kWj yang dibekalkan oleh Svolt, iaitu syarikat subsidiari GWM. Ini membolehkan SUV PHEV tersebut bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya dalam jarak masing-masing 101 km dan 150 km.
Secara keseluruhan, Geely menyatakan bahawa unit rangkaian kuasa PHEV Thor pada Starship 7 ini boleh bergerak sejauh 2,000 km dengan hanya satu tangki bahan api, sama seperti yang didakwa ketika mendedahkan versi konsepnya sebelum ini.
Beberapa imej awalan sebelah dalam Starship 7 ini juga telah didedahkan, menyaksikan sebahagian besar rekaan masih dikongsi bersama E5. Antaranya roda stereng rata di atas dan bawah, paparan instrumental digital dengan skrin 10.25-inci dan skrin tengah untuk infotainmen bersaiz 15.4-inci.
Apa yang berbeza adalah liang penghembus pendingin hawa dialihkan lebih ke bawah dan ia merentasi sepenuhnya papan pemuka tersebut. Terowong tengah juga sedikit berlainan kerana ia menampilkan dua pad pengecas telefon pintar tanpa wayar, dan ia berada sekali dengan panel suis fizikal kawalan penghawa dingin dan juga suis putar penukar gear.
Sama seperti Galaxy E5, Galaxy Starship 7 ini juga dijangka akan dihasilkan dalam versi Proton untuk dijual di Malaysia kerana Proton dikesan sudahpun memfailkan tanda dagangan eMas 7 PHEV. Malah dalam perancangan yang diumumkan Proton pada Mei lalu, model PHEV pertamanya dijangka akan diperkenalkan pada tahun hadapan.
Ini bukan sahaja akan memberikan pilihan enjin petrol untuk pelanggan yang berminat dengan eMas 7 tetapi masih tidak boleh menerima teknologi EV, malah Proton akhirnya turut menerima unit rangkaian kuasa baharu yang menampilkan enjin 1.5 liter empat-silinder Geely.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.