Honda City Hatchback facelift 2024 baru sahaja dilancarkan pada Mei lalu. Namun pada awal bulan ini, Honda Malaysia memberikan satu lagi kemaskini terhadap model berkenaan iaitu penambahan pilihan warna badan Phoenix Orange Pearl. Jika anda belum lagi melihat City Hatchback dalam pilihan warna baharu ini, nah kami belanja satu galeri penuh untuk anda tatap.
Warna Phoenix Orange Pearl ini tidak menggantikan mana-mana sedia ada dalam katalog City Hatchback facelift, dan ia adalah satu lagi pilihan tambahan berbanding warna sedia ada iaitu Ignite Red Metallic, Lunar Silver Metallic (petrol sahaja), Meteoroid Grey dan Platinum White Pearl.
Dan berbeza dengan warna Platinum White Pearl yang memerlukan pembeli menambah RM300 pada harga asal kereta untuk tambahan kesan ‘mutiara’ pada permukaan cat badan tersebut, Honda Malaysia nampaknya tidak mengenakan sebarang bayaran tambahan pada warna Phoenix Orange Pearl ini.
Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM85,900 untuk 1.5 S, RM90,900 untuk 1.5 E, RM95,900 untuk 1.5 V, RM100,900 untuk 1.5 RS dan RM112,900 untuk e:HEV RS hybrid. Model facelift ini bukan hanya datang dengan rupa lebih segar, malah semua varian City Hatchback ini juga telah diberikan pakej keselamatan Honda Sensing secara standard.
Bagi varian-varian petrol sepenuhnya, City Hatchback facelift ini masih dijana oleh enjin petrol empat silinder NA 1.5 litre DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS/145 Nm yang digandingkan dengan transmisi CVT.
Manakala bagi satu-satunya varian hibrid iaitu RS e:HEV, ia menerima enjin 1.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 98 PS/127 Nm yang kebanyakkan masanya mengecas bateri, sementara roda hadapan dipacu secara primari oleh motor elektrik berkuasa 109 PS/253 Nm. Namun dalam situasi tertentu, enjin petrol berkenaan masih membantu memacu roda menerusi klac lock-up dalam transmisi e-CVT yang diberikan.
Kami telahpun memandu uji Honda City facelift 2024 ini, dan laporan tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.
Honda City Hatchback E 2024 dalam warna Phoenix Orange Pearl
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.