Kerajaan sepatutnya membuat pertimbangan untuk memasukkan sekali stesen pengecas dalam aset grid nasional demi memberi sokongan kepada percambahan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia – kata ahli parlimen Puchong, Yeo Bee Yin dalam laporan Bernama.
Beliau turut menambah bahawa jika tidak ada banyak stesen pengecas, orang tidak akan membeli EV, dan sebaliknya, jika tidak banyak EV atas jalan, tidak banyak syarikat yang ingin memasang stesen pengecas.
Dalam perbahasan Supply Bill di parlimen semalam, Yeo memberi cadangan supaya kos pemasangan stesen pengecas ditanggung oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) menggunakan Perbelanjaan Modal (capex) daripada Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) untuk tempoh kawal selia (RP) seterusnya iaitu RP4 bagi tempoh 2025-2027.
“Dengan memasukkan pemasangan stesen pengecasan di bawah IBR, TNB akan menjadi pelaksana utama dan ia boleh merancang dan memasang stesen pengecasan dengan cepat dan efisien. Selain itu, kos per unit stesen pengecasan akan menjadi lebih rendah dengan adanya ekonomi bidangan,” kata Yeo.
Tambah beliau lagi, semua capex untuk infrastruktur grid kebangsaan adalah termasuk di bawah IBR dan ia adalah antara komponen digunakan untuk menentukan tarif asas di Semenanjung.
Menurut Yeo, jika capex untuk RP4 adalah sama seperti RP3 iaitu RM20 bilion, perbelanjaan pembinaan stesen pengecasan hanya 2.9% daripada jumlah perbelanjaan modal yang akan diperuntuk oleh TNB untuk tempoh 2025-2027.
“Berdasarkan kiraan kasar saya, untuk mencapai sasaran 10,000 stesen pengecasan kita perlu membina kira-kira 7,500 stesen lagi. Andai kata 20% daripada ini adalah pengecas DC, yang mana kos sekitar RM250,000 dan 80% pengecas AC yang mana kos sekitar RM35,000, maka jumlah kos ialah RM585 juta. Persoalannya sekarang, adakah berbaloi untuk membuat pelaburan? Saya rasa ya. Ini kerana kesannya sangat besar dan positif,” kata Yeo.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.