Sempena perayaan Deepavali yang bakal disambut pada Khamis hadapan, 31 Oktober 2024, ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya KL-Karak (KLK) & Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) telah mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk rujukan para pengguna kedua-dua lebuhraya terbabit.
TTA berkenaan adalah bagi perjalanan antara 30-31 Oktober dan 2-3 November 2024, memberikan peluang kepada pengguna untuk merancang perjalanan dengan baik bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa menuju kampung halaman atau destinasi pilihan.
Bagi yang datang dari arah KL dan Selangor, dan memulakan perjalanan antara 30 hingga 31 Oktober, anda diminta mula bergerak antara jam 10 pagi hingga 2 petang atau selepas 8 malam hingga 11 malam jika ke Pahang, antara 8 pagi hingga 10 pagi atau selepas 8 malam hingga 11 malam bagi yang ke Terengganu dan yang menuju ke Kelantan, dicadangkan mula bergerak antara 6 pagi hingga 10 pagi atau selepas 5 petang hingga 8 malam.
Untuk perjalanan kembali ke KL dan Selangor pada antara 2 hingga 3 November pula, anda disarankan memulakan perjalanan antara jam 10 pagi hingga 12 tengahari atau selepas jam 5 petang hingga 7 malam jika dari Pahang. Bagi yang datang dari arah Terengganu, disarankan mula bergerak selepas 11 pagi hingga 1 tengahari atau selepas 5 petang hingga 7 malam. Manakala yang datang dari arah Kelantan pula, disarankan mula bergerak selepas 3 petang hingga 5 petang atau selepas 10 malam hingga 12 tengah malam.
Waktu perjalanan bebas pula dari mana-mana destinasi adalah antara 12 tengah malam sehingga 6 pagi. Untuk bas ekspres pula, untuk destinasi ke Pantai Timur, disarankan memasuki Plaza Tol Gombak antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengahari atau 9.30 malam hingga 12 tengahmalam. ANIH memaklumkan, kenderaan ringan tidak digalakkan memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu tersebut.
Buat masa ini, pemberian tol percuma untuk mana-mana lebuhraya sempena perayaan Deepavali masih belum diumumkan. Kita nantikan perkembangan selanjutnya sekiranya ada.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.