Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI yang dibuka bidaan menerusi platfrom dalam talian, JPJ eBid sejak 19 Oktober lalu dan berakhir jam 10 malam pada 23 Oktober 2024 telah mencatatkan kutipan mencecah RMRM2,623,329.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, jumlah itu berdasarkan laporan awal yang diterima pihaknya, laporan Berita Harian.
“Hasil setakat ini RM2.6 juta, nanti saya akan keluarkan kenyataan,” katanya pada sesi taklimat media mengenai operasi Rapid KL pasca belanjawan semalam.
Terkini, menurut JPJ pula, berdasarkan kepada rekod bidaan, MADANI 6 telah dibida dengan harga paling tinggi iaitu RM68,888. Diikuti MADANI 5 dengan harga RM58,001, MADANI 4 (RM55,000), MADANI 3 (RM51,111) dan MADANI 33 (RM42,110). Jumlah penyertaan keseluruhan pembida siri ini adalah seramai 5,632 orang dan sebanyak 3,263 pembida telah berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.
Lima nombor yang paling banyak dibida ialah MADANI 1118 seramai 17 pembida, MADANI 8055 (15 pembida), MADANI 998 (13 pembida), MADANI 1305 (13 pembida) dan MADANI 113 (12 pembida).
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, nombor pendaftaran yang berjaya dibida mesti didaftarkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan rasmi. Tambahnya, hasil penjualan NPI ini juga merupakan salah satu langkah untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah kementerian Pengangkutan (MOT) seperti Program MyLesen, Program Pertukaran topi Keledar, FlySISWA, pembayaran Perkeso kepada pemandu teksi dan juga inisiatif lain.
Nampak gayanya, siri MADANI ini tidaklah secemerlang rekod yang pernah dicatatkan oleh beberapa NPI yang pernah dibuka bidaan sebelum ini. Termasuklah NPI GOLD yang dibuka pada Februari lalu sempena Jubli Emas Wilayah Persekutuan ke-50 yang mencatatkan keuntungan mencecah RM17 juta menerusi 23,000 bidaan, termasuklah plat GOLD 1 yang menjadi milik DYMM YDPA Sultan Ibrahim Iskandar, dengan nilaian bidaan cecah RM1.5 juta.
Manakala plat NPI M_M yang membawa maksud ‘Malaysia Merdeka’ pad September tahun lalu pula mencatatkan keuntungan mencecah RM20 juta daripada 25,033 bidaan. Bidaan tertinggi mencecah RM622k iaitu bagi M1M.
Pada Mei 2023, NPI FF pula meraih sejumlah RM34.2 juta, mengatasi siri GOLD. Di mana plat FF8 mengungguli siri tersebut dengan bidaan sebanyak RM950k, diikuti FF9 (RM912k).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.