Turut hadir di acara Auto Car Expo (ACE) 2024 anjuran paultan.org bersama penaja, Carro dan Emit Solar adalah Mercedes-Benz, dengan diwakili oleh Hap Seng Star. Berlangsung di Pusat Persidangan Setia City (SCCC), Setia Alam, Selangor, pengedar rasmi Mercedes-Benz itu membawa dua model terkini yang dilancarkan September lalu, iaitu E-Class dan GLC350e baru.
Pengunjung boleh mendekati sendiri E-Class W214 generasi keenam dalam dua varian, iaitu E200 Avantgarde hibrid ringkas dan E350e AMG Line PHEV, yang dijual pada harga masing-masing RM355,888 dan RM418,888. Kedua-duanya dipacu oleh enjin 2.0 liter turbo 204 PS/320 Nm yang sama, dengan E350e dibantu oleh motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 313 PS dan 550 Nm. Melalui sumber elektrik sahaja, ia boleh bergerak sehingga 118 km.
Enjin sama pada GLC350e pula dipadankan dengan bateri yang lebih besar, dapat memberikan jarak gerak elektrik sehingga 131 km. Turut dipamerkan adalah C350e, yang mula dijual Mei lalu dan juga datang dengan tetapan PHEV dan jarak gerak elektrik 117 km.
Selain membawa model terkini, Hap Seng Star turut menyediakan tawaran istimewa untuk model terpilih lain, termasuk kadar pembiayaan serendah 0.88% setahun untuk C-Class dan pakej servis percuma lima tahun/60,000 km untuk A-Class Sedan.
Semua model yang ditawarkan oleh Hap Seng Star boleh dimiliki melalui pembiayaan Agility+, yang memberikan sokongan insurans motor MobilityPlus yang menjanjikan kenderaan ganti Mercedes-Benz apabila kenderaan anda diservis atau dibaik pulih, bersama tambahan jaminan terhad lima tahun. Model plug-in hybrid juga akan menerima kredit mengecas RM300.
Nampak seperti menarik? Datang sendiri ke ACE 2024 yang berlangsung hari ini dan esok (26-27 Oktober 2024) di Pusat Persidangan Setia City (SCCC), Setia Alam, Selangor. Selain tawaran daripada pengedar, anda juga dapat menikmati pelbagai tawaran lain termasuk baucar RM3,000 apabila membuat pembelian di ACE 2024. Masuk adalah percuma!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.