Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menyatakan bahawa mekanisme dua harga untuk RON 95 akan membawa masalah dan tidak patut dilaksanakan. Menurut setiausaha komunikasi dan media persatuan itu, Gordon Lim, pengendali stesen minyak mungkin berhadapan isu yang mengganggu operasi jika petrol RON 95 bersubsidi dijual menggunakan MyKad.
Sebaliknya, beliau mencadangkan harga RON 95 diapungkan dan menggunakan cara pulangan balik seperti sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS) yang sudah dilaksana sejak bulan Jun lepas.
“Untuk pembelian tunai, pelanggan perlu beratur di dalam kerana urus niaga melalui tingkap juruwang mungkin tidak dibuka. Disebabkan perlu berbaris, stesen minyak juga mungkin kehilangan pelanggan yang mahu membeli barang di dalam kedai. Lebih banyak pelanggan mungkin akan memilih untuk membayar secara elektronik menggunakan kad. Ini akan mengenakan kadar diskaun peniaga yang lebih tinggi kepada kami,” kata Lim.
Beliau menambah bahawa pengendali stesen minyak juga akan dibebankan dengan pertambahan modal kerana bayaran balik kenaikan harga akibat subsidi oleh kerajaan itu mungkin akan jadi lambat. Stesen minyak yang lebih kecil juga berisiko ditutup kerana pelanggan akan lebih gemar pergi ke stesen yang lebih besar bagi mengelakkan barisan panjang.
Seperti yang dilaporkan oleh The Star, Lim memberitahu bahawa PDAM juga menjangkakan penyalahgunaan pada sistem ini disebabkan nanti mungkin ada orang yang layak, menukar MyKad mereka untuk mengisi petrol kenderaan yang dimiliki oleh seseorang yang tidak layak untuk subsidi.
Pendapat sama dinyatakan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk, yang bersetuju bahawa mekanisme dua harga untuk petrol RON 95 ini tidak praktikal kerana penggunaan MyKad boleh merumitkan proses jualan.
“Memberi subsidi kepada bahan api boleh menggalakkan lebihan penggunaan dan penyeludupan. Ia telah terbukti sebelum ini. Apa yang perlu dilakukan adalah mengapungkan harga RON 95 dan beri subsidi kepada individu dengan memulangkan tunai kepada yang layak. Ini adalah cara terbaik,” kata beliau.
Semasa pembentangan Bajet 2025, kerajaan telah mengumumkan akan menyusun kembali subsidi petrol RON 95 pada pertengahan tahun 2025, dengan beralih kepada subsidi bersasar. Bagaimana ia dilaksanakan, dan apa mekanisme yang akan digunakan, setakat ini kita masih belum tahu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.