Sabtu lalu Proton sudahpun mengumumkan bahawa model EV pertamanya iaitu eMas 7 yang bakal dilancarkan pada Disember ini (mungkin ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show 2024) sudah pun boleh ditempah. Serentak dengan pengumuman tersebut, Proton turut mendedahkan bahawa eMas 7 akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dan Premium, dengan harga anggaran bermula RM120,000.
Jadi apa beza varian asas Prime dan varian tertinggi Premium? Kami akan kupas menerusi artikel ini bagi memudahkan anda membuat pilihan sekiranya berminat dengan SUV EV yang akan berhadapan terus dengan BYD Atto 3 ini.
Kedua-dua varian ini berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal ’12 dalam 1′ yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat, menjadikan ia model produksi Proton paling pantas setakat ini. Kelajuan maksima yang boleh dicapai adalah 175 km/j.
Begitu juga dengan bateri, di mana kedua-duanya menampilkan bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri untuk membekalkan tenaga bagi menggerakkan motor elektrik berkenaan. Namun kapasiti bateri antara dua varian ini tidak sama di mana varian Prime menerima bateri berkapasiti 49.52 kWj manakala Premium pula diberikan bateri dengan kapasiti 60.22 kWj.
Perbezaan bateri ini mempengaruhi jarak gerak bagi kedua-duanya. Oleh itu, Protom eMas 7 Prime boleh bergerak sejauh 345 km untuk satu cas penuh bateri, manakala eMas 7 Premium dengan kapasiti bateri lebih besar boleh bergerak sejauh 410 km untuk cas penuh bateri. Angka ini diperolehi menerusi kitaran ujian WLTP yang lebih tepat berbanding NEDC.
Proton eMas 7 diberikan sistem pengecas pantas DC 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium, membolehkan cas dipenuhkan dari 30% hingga 80% dalam masa 20 minit. Pengecas AC juga boleh digunakan dengan kadar maksimum 11 kW, membolehkan kadar cas 30% hingga 80% dipenuhkan dalam masa 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium.
Beralih kepada senarai kelengkapan, kedua-dua varian eMas 7 ini datang dengan perincian standard seperti lampu hadapan LED automatik dengan fungsi Follow-me-home dan lampu tinggi aktif, lampu belakang LED 3D, rel bumbung, pengelap cermin automatik, serta cermin pandang belakang auto-lipat dengan fungsi pemanas, paparan instrumen pemandu dengan skrin 10.2-inci, sistem pendingin hawa automatik dengan penapis N95, balutan leatherette untuk upholsteri tempat duduk, serta larasan elektrik enam-hala untuk pemandu.
Manakala varian Premium pula menerima penambahan kelengkapan seperti bumbung suria panaromik, pintu tailgate belakang berkuasa dan juga penutup gril hadapan aktif, fungsi memori untuk larasan tempat duduk pemandu, larasan elektrik untuk tempat duduk penumpang hadapan dan juga liang pengudaraan tempat duduk serta lampu suasana kabin 256-warna.
Sistem infotainmen yang diberikan adalah sama untuk kedua-dua varian eMas 7 ini. Ia menampilkan skrin tengah gergasi bersaiz 15.5-inci dengan paparan resolusi 2.5k yang beroperasi dengan Flyme OS disambungkan kepada sistem bunyi Wanos 16-pembesar suara termasuk yang terletak pada kepala tempat duduk dari Flyme Sound.
Perbezaan pada bahagian luar kedua-dua varian ini turut boleh dikenali menerusi set roda yang dipadankan. Varian Prime dipadankan dengan rim aloi 18-inci dengan tayar Giti 255/55R18, manakala varian Premium pula datang dengan rim aloi 19-inci dengan tayar 235/50R19.
Untuk keselamatan pula, semua varian eMas 7 ini diberikan enam beg udara dan juga kamera 360-darjah. Kedua-duanya juga diberikan sistem bantuan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, sokongan brek dinamik, amaran dan pengelak keluar lorong dan juga bantuan pengekal lorong kecemasan.
Ia juga diberikan sokongan radar belakang yang memberikan fungsi seperti amaran pelanggaran belakang, amaran dan brek lintasan trafik belakang, bantuan tukar lorong, pemantau titik buta dan amaran buka pintu.
Kedua-dua varian Proton eMas 7 ini ditawarkan dengan pilihan lima warna badan yang sama iaitu Platinum Silver, Turqouise Blue, Slate Gray, Quartz Rose, dan Lithium White.
Jadi inilah perbezaan dua varian Proton eMas7 berdasarkan dengan apa yang kami tahu setakat ini. Anda dah buat keputusan varian mana yang mahu dibeli? Atau masih mahu menunggu harga sebenar bagi kedua-dua varian tersebut? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau pada laman-laman media sosial kami.
GALERI: Pilihan warna Proton eMas 7 bayangan Theophilus Chin
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.