Adakah patut pemilik kenderaan mewah dilabelkan tidak layak untuk menerima subsidi petrol RON 95? Presiden MCA, Wee Ka Siong nampaknya bersetuju dan menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan kelayakan subsidi ini untuk mengikut jenis dan nilai kenderaan yang dipandu, berbanding pendapatan seseorang.
Menurut beliau, pemandu kenderaan seperti Perodua Myvi, Ativa dan Alza sepatutnya berhak menerima subsidi penuh petrol RON 95 daripada kerajaan. “Walaubagaimanapun, mereka yang memandu Mercedes-Benz, BMW, Ferrari atau Lamborghini tidak memerlukan langsung subsidi ini,” kata Wee dalam satu video di TikTok, menurut laporan FMT.
Beliau turut menambah bahawa mereka yang terletak dalam kumpulan pendapatan M40, tetapi memilih untuk memandu kenderaan mewah juga tidak sepatutnya diberikan sebarang subsidi. Beliau berkata, kerajaan tidak sepatutnya menghukum mereka yang mengambil langkah bersederhana dalam kehidupan harian dan tidak berbelanja dengan boros.
Semasa pembentangan Bajet 2025, kerajaan mengumumkan subsidi petrol RON 95 akan disusun semula dan selepas sahaja pengumuman itu, terdedah pula cara dua harga berdasarkan pendapatan akan diperkenalkan, dengan golongan T15 tidak layak untuk menerimanya. Bagaimana cara pelaksanaan sebenarnya masih belum diumumkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.