Kereta lumba Proton S70 R3 telah pun didedahkan hari ini, dan seperti yang telah kami laporkan ia menggunakan enjin Campro 1.6 liter NA dari model-model terdahulu, bukan enjin 1.5 liter turbo asal. Dengan tidak menggunakan enjin dan kotak gear asal, jadi apa yang boleh dikaitkan kereta lumba ini dengan model produksi jalan raya biasa?
Menurut ketua mekanik pasukan Proton R3 Haji Osman Jailani, asas kerangka Proton S70 ini sahaja sudah lebih baik dari kereta-kereta lumba terdahulu, membolehkan pasukannya menghasilkan kereta lumba baharu yang lebih laju. Beliau menjelaskan bahawa dengan badan yang lebih lebar dan juga lebih panjang, menjadikan Proton S70 ini menjadi kereta lumba dengan pengendalian terbaik pernah dihasilkan Proton R3, lebih baik dari Saga dan Iriz sebelum ini.
Haji Osman turut menambah, kereta lumba Proton S70 turut menampilkan kelajuan tinggi lebih baik pada laluan lurus kerana asas badan kereta itu sendiri yang lebih aerodinamik serta direka dengan pekali geseran lebih rendah.
Menurutnya lagi, pembangunan kereta lumba ini turut mendapat sokongan teknikal dari pasukan R&D Proton yang menghasilkan model jalan raya S70 ini dan juga dari R&D Geely sendiri, khususnya dalam aspek perkongsian data untuk kerja-kerja seperti memadankan enjin Campro 1.6 ke dalam perut jentera lumba S70 R3 tersebut.
Walaupun kereta lumba ini dilihat sarat dengan kelengkapan seperti set rollcage yang berselirat mengikut spesifikasi FIA, set brek dan suspensi dengan komponen-komponen lebih besar, Haji Osman memberitahu bahawa berat kereta lumba ini sekarang hampir kepada had minima yang dibenarkan dalam undang-undang MTC iaitu 1,000 kg, berbanding model jalan raya biasa dengan berat melebihi 1,300 kg.
Namun beliau menjelaskan masih ada ruang untuk diringankan badan kereta ini pada masa hadapan. Haji Osman tidak memperincikan bahagian mana lagi yang boleh dibuat, namun pada pemerhatian kami, kereta lumba ini masih menggunakan cermin kaca pada kedua-dua tingkap pintu belakang dan cermin utama belakang, berbeza dengan kereta lumba Toyota Vios NGC102 MTC pasukan Wing Hin Motorsport yang telah pun menggunakan material polycarbonate pada bahagian-bahagian tersebut.
Proton telah mengesahkan bahawa enjin 1.6 liter Campro tersebut kerana ia adalah pilihan paling sesuai untuk undang-undang kategori MTC dalam perlumbaan Sepang 1000KM (S1K). Namun Haji Osman turut ada menyatakan bahawa pasukannya turut berminat untuk membina sebuah lagi kereta lumba Proton S70 menggunakan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo yang sama dengan model produksi sekiranya pihak Litar Antarabangsa Sepang merombak undang-undang kategori Stock Production 2 (SP2) untuk membenarkan enjin berkenaan digunakan bagi perlumbaan Malaysia Championship Series (MCS) tahun depan.
GALERI: Proton S70 Flagship X
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.