Selepas perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenderaan elektrik (EV) akan digunakan sebagai kereta rasmi pemimpin ASEAN sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 semalam, timbalan perdana menteri, Fadillah Yusof pula membuat kenyataan bahawa jumlah stesen pengecas EV dalam negara dijangka digandakan kepada 4,000 buah, sebagai sokongan.
Dalam laporan The Star, Fadillah dipetik berkata bahawa jumlah 2,000 stesen yang ada sekarang – kebanyakannya terletak dalam kawasan bandar – sudah mencukupi untuk membekalkan elektrik kepada kenderaan rasmi perjumpaan ASEAN itu, yang juga diadakan di dalam kawasan bandar.
Tambah beliau, fokus kepada sektor tenaga ini, termasuk EV adalah salah satu pendekatan untuk mencapai kelestarian. “Rancangannya sekarang adalah untuk mempromosi lebih EV, dan salah satu langkahnya adalah dengan meningkatkan jumlah stesen pengecas. Sasaran kami adalah untuk mempunyai 10,000 stesen di seluruh negara menjelang 2030, bersama dengan penyediaan insentif untuk pemilikan EV.”
“Ini memberi manfaat kepada alam sekitar memandangkan ia mengurangkan pembebasan karbon daripada sektor pengangkutan, dan EV adalah salah satu langkah yang diberi fokus oleh kerajaan,” kata beliau sambil menambah bahawa percepatan pemasangan stesen pengecas memerlukan penyertaan daripada bukan sahaja Tenaga Nasional Berhad (TNB), tetapi juga sektor swasta.
Data yang dinyatakan oleh Fadillah nampak sedikit berbeza berbanding yang dikeluarkan oleh menteri pelaburan, perdagangan dan industri (MITI), Tengku Zafrul Aziz, yang baru sahaja minggu lepas menyatakan bahawa Malaysia sudah mempunyai 3,171 stesen pengecas (813 DC, 2,358 AC) setakat 30 September. Disebabkan itu, sasaran 4,000 stesen menjelang 2025 memang dapat dicapai.
Sasaran yang lebih tinggi adalah untuk mempunyai 10,000 pengecas, terdiri daripada 1,500 DC dan 8,500 AC, menjelang akhir tahun 2025. Ini diutarakan pada tahun 2021 di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030 dan juga adalah lima tahun lebih awal berbanding sasaran yang dibuat oleh Fadillah seperti di atas.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.