Nampaknya situasi yang berlaku terhadap Volkswagen bertambah parah – majlis pekerja jenama automotif Jerman berkenaan menyatakan bahawa syarikat itu kini sedang merancang untuk menutup tiga kilang di negara asalnya, berbanding hanya sebuah sebelum ini, lapor Reuters.
Volkswagen tidak pernah menutup mana-mana kilangnya di Jerman sebelum ini, dan satu-satunya kilang yang pernah ditutup adalah fasiliti di Westmoreland, Pennslyvania, Amerika Syarikat pada 1998. Syarikat itu kini sudah beberapa minggu berbincang dengan kesatuan sekerja berhubung rancangan untuk merombak perniagaannya dan mengurangkan kos, termasuk mempertimbangkan penutupan kilang-kilang berkenaan.
Menurut Reuters lagi, Isnin lalu Volkswagen telah mengulangi kenyataan bahawa penstrukturan semula sememangnya perlu dilakukan, dan bakal mengumumkan cadangan yang lebih konkrit pada Rabu ini.
Dalam satu ucapan kepada yang dibuat kepada pekerja-pekerja kilang terbesar Volkswagen Group di Wolfsburg, Ketua majlis kerja Daniella Cavallo menyatakan bahawa syarikat itu kini serius terhadap rancangan yang sedang dibuat dan menambah bahawa langkah ini mungkin akan menyebabkan sekitar 300,000 pekerja terjejas, gaji pekerja sedia ada akan dipotong sekurang-kurangnya 10% dan pembekuan gaji pada 2025 dan 2026.
Cavallo menyatakan bahawa konflik antara pekerja dan pihak pengurusan syarikat kini sedang membarah kerana Volkswagen kini sedang menghadapi tekanan teruk daripada kos tenaga dan buruh yang tinggi, persaingan sengit dengan jenama dari Asia, permintaan yang semakin lemah di Eropah dan China serta peralihan elektrik yang lebih perlahan daripada yang dijangkakan.
Apa yang disebut oleh Cavallo tersebut agak sama seperti yang dinyatakan oleh penganalisis Stifel, Daniel Schwarz. “Saya percaya ini mencerminkan gabungan unik faktor yang tidak menguntungkan: persaingan di China, permintaan yang lemah di Eropah, terutamanya untuk BEV (kenderaan elektrik berkuasa bateri), peraturan yang lebih ketat,” kata Schwarz.
“Keadaan ini serius dan tanggungjawab rakan perundingan adalah sangat besar… Tanpa langkah komprehensif untuk mendapatkan semula daya saing, kami tidak akan mampu membayar pelaburan penting pada masa hadapan,” kata ahli lembaga Volkswagen Group, Gunnar Kilian.
Manakala ketua divisi jenama Volkswagen, Thomas Schaefer pula menyatakan bahawa kilang-kilang di Jerman tidak cukup produktif dan kini beroperasi 25-50% di atas kos yang disasarkan, bermakna ada beberapa kawasan kini beroperasi dengan kos dua kali lebih tinggi berbanding pesaing.
Dalam laporan Reuters ini juga menyatakan bahawa saham Volkswagen jatuh 1% selepas rancangan ini diumumkan. Nilai saham Volkswagen juga sebenarnya sudahpun jatuh 44% dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.