Baru sahaja didedahkan kepada dunia beberapa minggu lalu, Triumph Trident 660 2025 kini sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan RM46,900 tidak termasuk insurans. Keseluruhannya ada tiga warna baru yang ditawarkan dan kumpulan pertama motosikal untuk pelanggan dijangka tiba pada pertengahan bulan November.
Peningkatan yang dibuat pada Trident baru ini kebanyakannya adalah pada bahagian kelengkapan dan ciri. Sebagai permulaan, ia kini ditawarkan secara standard dengan Cornering ABS, Traction Control, Triumph Shift Assist (quickshifter naik dan turun gear) serta cruise control.
Kemudiannya pada bahagian suspensi, fork USD 41 mm sebelum ini dinaik taraf dengan unit SFF-BL (big piston), sementara di belakang masih menggunakan monoshock Showa dengan pelarasan pra beban yang sama. Ia memegang rim 17 inci yang dibalut dengan tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.
Jika sebelum ini Trident 660 cuma mempunyai dua mod iaitu Road dan Rain, sekarang ia ditambah dengan satu lagi mod Sport yang lebih sesuai untuk tunggangan bersemangat. Untuk skrin TFT berwarna penuhnya pula, fungsi sambungan kepada telefon pintar untuk menunjukkan navigasi serta kawalan muzik kini diberikan secara standard. Turut dipertingkat adalah jenis bahan dan kemasan, termasuk top yoke dan pedal brek.
Bahagian lain pada motosikal ini tidak diubah, termasuk enjin tiga silindernya, yang berkapasiti 660 cc bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan 81 hp pada 10,250 rpm dan tork 64 Nm pada 6,250 rpm. Brek menggunakan unit cakera berkembar 310 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 255 mm dengan angkup satu piston di belakang.
Trident 660 hadir dengan tangki bahan api 14 liter dan tinggi tempat duduknya masih 805 mm. Dengan segala tambahan kelengkapan baru ini, berat keseluruhannya cuma naik satu kilogram menjadi 190 kg. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun tanpa had batuan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.