Dengan tempahan untuk Zeekr X mula dibuka untuk pasaran Malaysia awal bulan ini, pengeluar dari China itu menunjukkan pula gambar bagi varian Premium 2WD di laman Facebook, dengan latar di Genting Highland — pendaftaran minat juga sedang dibuka di sini.
Merupakan varian dengan motor tunggal dengan harga bermula RM180k, Zeekr X Premium 2WD adalah model lebih rendah penawarannya berbanding Flagship AWD: hanya dua varian ditawarkan di sini. Ia bagaimanapun berkongsi bateri yang sama antara kedua-dua varian — nickel manganese cobalt (NMC) dengan kapasiti bersih 66 kWh (69 kWh kapisiti kasar).
Kuasa yang dijana oleh motor tunggal Premium 2WD ini pula ialah 272 PS/343 Nm yang memacu roda belakang, membolehkannya mencapai 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat.
Untuk perbandingan, varian Flagship AWD dengan dua motor menjana 428 PS/543 Nm untuk memacu semua roda, membolehkan 0-100 km/j dicapai dalam 3.8 saat. Dengan bateri yang sama dan prestasi berbeza, Premium 2WD memberikan jarak yang sedikit lebih jauh, dengan 440 km (WLTP), berbanding Flagship AWD dengan 420 km (WLTP).
Kedua-dua varian mempunyai laju maksimum 190 km/j dan boleh dicas pantas DC hingga 150 kW, yang membolehkan tahap bateri 10%-80% dicas dalam masa 30 minit. Untuk pengecasan AC, spesifikasi untuk Singapura menunjukkan maksimum kapasiti 7.2 kW bagi Premium RWD, dan 11 kW untuk Flagship AWD dan boleh dicas penuh dalam masa tujuh jam.
Kelengkapan luaran untuk Zeekr X termasuklah lampu dan DRL LED, dan di dalam antaranya dilengkapi dengan kluster instrumen digital 8.8-inci dan skrin sentuh 14.6-inci untuk sistem infotainmen, serta tujuh beg udara. Kelengkapan ADAS pula termasuk AEB, kawalan melayar adaptif, bantuan menukar lorong, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik depan dan belakang, bantuan parkir dan peninjau pemandu.
Pilihan warna yang ada pula ialah Pine Green seperti dalam gambar, serta diikuti Crystal White, Mist Grey, Grid Grey dan Palace Beige. Di dalam, balutan kemasan hanya dalam skim dua rona Charcoal Black dan Stone Grey
Menggunakan platform SEA, Zeekr X berkongsi binaan yang sama dengan smart #1 dan #3 serta Volvo EX30.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.