Projek pelebaran lorong tambahan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dijangka bermula pada Januari 2025, Dewan Rakyat diberitahu hari ini, laporan Bernama. Ia adalah bagi menangani isu kesesakan terutama pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu.
Syarikat konsesi lebuhraya terbabit, AFA Prime Berhad (sebelum ini dikenali sebagai Anih Berhad) sedang dalam proses memuktamadkan reka bentuk projek berkenaan sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan fizikal di tapak, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
“Kelewatan ini adalah disebabkan oleh pertukaran pemegang saham yang baru sahaja dimuktamadkan. Berdasarkan Perjanjian Konsesi, tempoh pembinaan pelebaran Lebuhraya KLK adalah selama empat tahun dan dijangka siap pada tahun 2029,” katanya pada sesi soal jawab hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai rancangan kementerian bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di Lebuhraya KLK dan sama ada terdapat laluan alternatif akan dibina bagi jaringan menghala ke Pantai Timur dari Kuala Lumpur.
Projek pelebaran tersebut akan membabitkan jarak sepanjang 45.3 kilometer dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.1 bilion dibiayai sepenuhnya oleh syarikat konsesi lebuhraya terbabit. Antara skop kerja pelebaran Lebuhraya KLK yang bermula dari Plaza Tol Gombak ke Bentong adalah penambahan satu lorong daripada tiga lorong sehala sedia ada kepada empat lorong sehala bagi Seksyen 1 (dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah) dan daripada dua lorong sehala sedia ada kepada tiga lorong sehala bagi Seksyen 2 (dari Genting Sempah ke Bentong).
Skop kerja itu juga akan membabitkan pembinaan sebuah terowong dua lorong baharu bersebelahan dengan terowong sedia ada arah Timur.
Menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat sama ada kerajaan bercadang untuk mengurangkan operasi semasa tiga plaza tol di Karak, Bentong dan Gombak kepada satu plaza tol di lokasi yang sesuai, Ahmad Maslan berkata Lebuhraya KL-Karak beroperasi di bawah sistem tol terbuka, dan sebarang penyatuan daripada tiga tol kepada satu akan mempunyai implikasi pada perjanjian terdahulu yang telah ditandatangani.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.