Kementerian Pengangkutan (MOT) telah menubuhkan pasukan petugas khas (special taskforce) bagi menjalankan siasatan terhadap insiden seorang remaja lelaki berusia 18 maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit dalam bas ekspres yang berlaku di Pulau Pinang pada 1 Nov lalu. Malah MOT turut mengarahkan operasi bas berkenaan digantung serta merta, laporan Bernama.
Menteri MOT Anthony Loke berkata, pasukan petugas khas itu terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang ditugaskan untuk menyiasat punca insiden berkenaan.
Dalam catatan di laman Facebook rasminya, Loke berkata, “Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden renjatan elektrik yang mengorbankan seorang remaja semalam semasa mengecas telefon dalam bas ekspress yang dinaikinya. Pasukan Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat punca insiden tersebut adalah bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang dan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.”
Pada Jumaat lalu, dilaporkan remaja lelaki terbabit maut akibat renjatan elektrik sewaktu mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket kuasa di dalam bas di Penang Sentral.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abd Rahman berkata, mangsa ditemui meninggal dunia pada jam 6.10 petang, dengan pemeriksaan awal mendapati kesan melecur di jari kirinya. Bedah siasat mengesahkan remaja itu meninggal dunia akibat renjatan elektrik. Di mana hujung kabel yang digunakan mangsa turut cair dan telefon terbabit juga berada dalam keadaan panas.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
betul benar