Mercedes-AMG G63 facelift 2024 dilancar di Malaysia – RM1.9 juta, 585 PS, hibrid ringkas, 0-100 km/j 4.4 saat

Mercedes-AMG G63 <em>facelift</em> 2024 dilancar di Malaysia – RM1.9 juta, 585 PS, hibrid ringkas, 0-100 km/j 4.4 saat

Dalam acara Luxury Like No Other hari ini, Mercedes-Benz Malaysia turut melancarkan versi facelift untuk SUV lasak Mercedes-AMG G63 yang menampilkan pelbagai pembaharuan bagi memastikan ia terus kekal relevan dalam pasaran. Ia diumum dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM1,948,888, atau sekitar RM150,000 lebih mahal dari versi terdahulu.

Model ini masih lagi kekal digerakkan oleh enjin M177 4.0 liter V8 disuap pengecas turbo berkembar yang menghasilkan 585 PS dan tork maksima 850 Nm. Namun bagi model facelift ini ia sudah ditambah dengan sistem hibrid elektrik ringkas 48-volt, yang menampilkan unit motor starter-generator dipacu tali sawat (BSG) yang memberikan tujahan tambahan 20 PS/200 Nm apabila diperlukan.

Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik AMG Speedshift TCT 9G sembilan-kelajuan, bersama sistem pacuan empat roda kekal yang menampilkan tiga unit locking differential. Padanan ini membolehkan pecutan dari 0-100 km/j dibuat dalam masa 4.4 saat, atau 0.1 saat lebih pantas dari versi sebelumnya. Model pasaran Malaysia ini datang standard dengan pakej AMG Performance yang membolehkan kelajuan maksimanya mencapai 240 km/j berbanding 220 km/j untuk versi biasa.

Mercedes-AMG G63 <em>facelift</em> 2024 dilancar di Malaysia – RM1.9 juta, 585 PS, hibrid ringkas, 0-100 km/j 4.4 saat

Walaupun G-Wagen ini masih sebuah SUV dengan casis ladder frame serta sistem pacuan empat roda klasik dengan gandar solid pada bahagian belakang, ia masih boleh dipandu dengan selesa dan meredah selekoh pada jalan raya biasa dengan baik menerusi pemadanan suspensi adaptif AMG Active Ride Control.

Seperti biasa, sekali tengok G-Wagen facelift yang dikenali dengan kod W465 ini nampak macam seakan sama sahaja seperti model sebelumnya. Namun sebenarnya ada beberapa perubahan kecil luaran yang dibuat pada sebelah luar termasuk liang ambilan udara pada bampar hadapan yang lebih besar serta rombakan kecil pada rekaan bampar belakang termasuk kamera undur yang telah diletakkan pada bahagian atas perumah nombor pendaftaran.

Antara perincian AMG pada bahagian luaran bagi membezakan ia dengan G-Wagen biasa termasuk liang udara sisi bampar yang direka seakan sirip ikan jerung, emblem AMG pada penutup bonet, gril Panamericana, cakera brek ditebuk, rim aloi forged AMG 22-inci, tip ekzos yang keluar pada sisi badan dan penutup corong isian petrol AMG berwarna perak.

Mercedes-AMG G63 <em>facelift</em> 2024 dilancar di Malaysia – RM1.9 juta, 585 PS, hibrid ringkas, 0-100 km/j 4.4 saat

MBM menyertakan AMG Night Package secara standard untuk G63 facelift pasaran Malaysia ini yang memberikan kemasan gelap pada gril hadapan, cermin sisi dan juga skid plate palsu di bawah bampar hadapan.

Pada bahagian dalaman, model facelift ini telah diberikan lebih banyak penebat bunyi bagi mengurangkan bunyi angin yang masuk ke kabin. Ia juga kini turut sudah menerima sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX), menampilkan skrin sesentuh 12.3-inci, sistem arahan suara “Hey Mercedes”, navigasi AR, serta hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Ia juga menerima paparan Offroad Cockpit bagi membantu pemandu meredah laluan lasak, serta paparan instrument digital 12.3-inci bersama AMG Track Pace dan data logger. Seperti model-model AMG lain, G63 ini juga menerima banyak perapi-perapi dalaman gentian karbon serta roda stereng AMG Performance baharu dengan butang-butang kawalan kapasitif dan suis putar.

Buat pertama kali menerusi G63 facelift ini, Mercedes telah memberikan sistem kemasukan tanpa kunci, dengan butang kunci diletakkan pada pembuka pintu sebelah luar. Liang udara pada tiang-D juga kini lebih besar bagi membolehkan pintu ditutup lebih mudah dengan membebaskan lebih banyak tekanan udara dari dalam kabin.

Antara perincian standard yang dibekalkan termasuk lampu hadapan LED Multibeam, bumbung suria, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori, upholsteri kulit Nappa, pemegang cawan dengan pemanas dan penyejuk, pengecas tanpa wayar Qi, monitor belakang berkembar 11.6-inci, sistem bunyi Burmester 3D dengan 15-pembesar suara, bantuan parkir dan sistem kamera 360-darjah dengan fungsi “bonet telus”.

Untuk keselamatan, Mercedes-AMG G63 facelift ini menerima sistem bantuan pemanduan termasuk bantuan kekal tengah lorong, brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, pemantau titik buta, amaran buka pintu, dan lamou tinggi adaptif.

Setiap pembelian Mercedes-AMG G63 facelift 2024 ini akan diberikan perlindungan waranti selama empat-tahun, tanpa had perbatuan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required