Suzuki telahpun mendedahkan model elektrik pertamanya, iaitu SUV eVitara. Ini merupakan versi produksi untuk model konsep Maruti Suzuki eVX yang membuat kemunculannya pada Januari 2023.
Model produksi sebenar eVitara ini menampilkan dimensi panjang 4,275 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,635 mm dan jarak roda sejauh 2,700 mm. Jarak lebar trek roda pula adalah 1,540 mm untuk hadapan dan 1,545 mm untuk belakang, manakala jarak kelegaan tanahhya pula adalah 180 mm.
Dua kapasiti bateri ditawarkan untuk eVitara ini iaitu 49 kWj dan 61 kWj. Bagi versi bateri 49 kWj, ia hanya dipadankan dalam versi motor tunggal pacuan hadapan yang berkuasa 144 PS dan tork maksima 189 Nm. Manakala versi bateri 61 kWj, ia diberikan motor pada gandar hadapan yang lebih berkuasa iaitu 174 PS/189 Nm, serta pilihan pacuan semua roda menerusi tambahan satu lagi motor berkuasa 65 PS pada gandar belakang membolehkan ia menerima kuasa keseluruhan 184 PS/300 Nm.
Menurut Suzuki, unit rangkaian kuasa 4WD elektrik pada model ini dikawal oleh sistem Allgrip-e yang didakwa memberikan “kawalan tepat dengan kadar responsif yang cemerlang.” Ia juga diberikan ‘Trail Mode’ yang akan mengelakkan tayar yang tidak mempunyai cengkaman berpusing dengan cara memberikan brek, dan akan mewujudkan kesan seakan menggunakan locking differential, dakwa Suzuki lagi.
Suzuki masih belum mengumumkan jarak gerak dan juga spesifikasi pengecas untuk eVitara ini, namun ia disasarkan untuk mencapai jarak gerak sejauh 400 km untuk sekali cas dan menerima pengecas DC 150 kW, lapor Autocar.
eVitara menggunakan platform yang direka khas untuk model-model EV, yang menampilkan struktur ringan serta perlindungan untuk komponen bervoltan tinggi, manakala lantai utamanya juga adalah penutup kepada pek bateri utama bagi memaksimakan kapasiti bateri.
Model asas dengan bateri 49 kWj mencatatkan berat bermula 1,702 kg, manakala versi dua motor dengan bateri 61 kWj adalah yang paling berat dengan 1,899 kg.
Menurut presiden Suzuki Motor Corporation Toshihiro Suzuki, pengenalan eVitara ini “mewakili pencapaian penting dalam mencapai neutraliti karbon”, dan penampilan sulung kenderaan elektrik bateri pertama jenama itu akan diikuti dengan pelbagai model BEV yang lain. Namun Suzuki masih akan menawarkan model-model lain yang digerakkan oleh unit rangakaian kuasa hibrid dan CNG yang disesuaikan dengan kawasan tertentu.
Suzuki eVitara ini akan diproduksi oleh kilang Suzuki Gujarat, India dan bakal dipasarkan secara global termasuk Eropah dan Jepun bermula musim panas hemisfera utara 2025. Sebelum ini Suzuki telahpun menandatangani perjanjian dengan Toyota untuk membekalkan SUV EV kompak dengan sistem 4WD yang diproduksi di kilangnya di India, jadi mungkin eVitara ini turut akan di rebadge sebagai Toyota?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.