BYD Malaysia telah mula membuka tempahan untuk model Sealion 7. Ini disahkan menerusi satu hantaran melalui media sosial yang juga telah menunjukkan kereta berkenaan sepenuhnya selepas beberapa iklan teaser sebelum ini.
Dengan ukuran dimensi 4,830 mm panjang, 1,925 mm lebar, 1,620 mm tinggi dengan jarak roda 2,930 mm, SUV elektrik ini adalah pesaing langsung kepada Tesla Model Y dan mungkin juga akan ditawarkan dengan tanda harga yang hampir sama, sepertimana Seal diposisikan berhadapan dengan Model 3. Boleh dijangkakan Sealion akan diberikan tanda harga yang lebih tinggi berbanding model sedan berkenaan, yang ketika ini dijual dengan harga RM163,800 dan RM199,800.
Sealion 7 sebenarnya lebih mirip dengan Song L — sebuah lagi SUV elektrik gaya coupe dengan badan panjang dan bumbung rendah — berbanding Sealion 6 DM-i plug-in hybrid yang lebih konvensional. Rekaannya pula meminjam lebih banyak daripada Seal, misalnya lampu utama bentuk C, bukaan udara besar, lampu belakang lebar penuh dan diffuser besar di belakang.
Ruang dalaman juga lebih menarik berbanding model BYD sebelum ini. Ada papan pemuka dua lapisan yang meletak dengan kemas kluster instrumen digital 10.25-inci dan juga panel penumpang dengan pencahayaan. Skrin besar 15.6-inci boleh pusing kekal ada, menampilkan ciri antaranya seperti augmented reality head-up display 50-inci, balutan kulit Nappa, bumbung kaca panoramik, kerusi berliang dengan pemanas di depan dan belakang serta sistem bunyi Dynaudio 12-pembesar suara.
Sealion 7 ditawarkan dengan dua pilihan janaan kuasa. Model asas dengan motor tunggal menjana sebanyak 313 PS (230 kW) dan 380 Nm yang dikuasai oleh bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) 82.56 kWh, dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat.
Bagi model AWD pula, ia menerima tambahan motor di depan dengan janaan 218 PS (160 kW) dan 310 Nm, menjadikan output keseluruhan sistemnya ialah 530 PS (390 kW) dan 690 Nm, dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 2.2 saat lebih cepat pada 4.5 saat. Versi ini menggunakan bateri 91.3 kWh, dan disokong dengan pengecasan pantas DC sehingga 230 kW berserta dengan senibina elektrikal 800-volt.
Adakah penawaran Sealion 7 ini cukup menarik untuk pasaran Malaysia?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.