Selain memperkenalkan beberapa model elektrik yang lebih fokus kepada penggunaan urban, Honda juga menunjukkan satu lagi langkah mereka ke arah dunia elektrifikasi – menambah supercharger jenis turbin (centrifugal) elektrik kepada enjin pembakaran dalaman.
Spesifikasi terperinci untuk enjin yang dikatakan oleh Honda sebagai yang pertama di dunia ini masih belum didedah, tetapi mereka memberitahu ia akan digunakan pada model yang mempunyai enjin berkapasiti lebih besar – berkemungkinan atas 500 cc.
Apa yang mahu ditunjukkan oleh Honda pada tempoh awal ini adalah bagaimana tetapan enjin ini boleh dimasukkan sebagai satu pakej pada sebuah motosikal. Anda boleh melihat enjin V3 75 darjah itu melibatkan dua silinder menghadap ke hadapan, dan satu lagi menghadap ke belakang.
Kemudian, supercharger itu terlindung di dalam rangka, di atas dua silinder hadapan. Menarik untuk kita lihat nanti, bagaimana pula Honda akan meletakkan tangki bahan api, yang biasanya tenggelam sedikit di bahagian yang menempatkan supercharger tersebut.
Menurut Honda, dengan penggunaan supercharger jenis elektrik ini, mereka boleh mengawal mampatan udara yang masuk untuk disesuaikan dengan tahap rpm, sekaligus tork dengan respons yang pantas dapat disampaikan termasuk pada kadar rpm rendah. Selain daripada itu, ia juga lebih kompak dan tidak memerlukan intercooler.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.