Semasa pameran EICMA yang sedang berlangsung di Itali sekarang, BMW Motorrad telah menunjukkan sebuah motosikal konsep F 450 GS, yang katanya dibangunkan untuk “mencapai kemampuan offroad terbaik, dan pada masa sama lincah dan mempunyai pengendalian yang tepat di atas jalan biasa.”
Walaupun ditunjukkan sebagai sebuah model konsep, motosikal ini kelihatan seperti sudah bersedia untuk produksi dengan membawa gaya rekaan seperti model-model GS yang lain, dan khas untuk model konsep ini, ia menggunakan grafik dan warna seperti R 1300 GS versi Trophy.
Meskipun perincian penuh motosikal ini tidak didedah, BMW ada memberitahu beberapa spesifikasi penting, termasuk enjin yang menggunakan unit dua silinder selari – dikatakan dibangunkan sendiri dari awal – berkuasa 48 hp dan mempunyai karekter bersemangat.
Mahu menetapkan standard baru dalam segmennya melalui teknologi premium, BMW telah memasang suspensi yang terdiri daripada fork larasan penuh di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Kemudiannya ia juga dilengkapi dengan skrin TFT 6.5 inci dengan sistem sambungan BMW Connectivity.
Pada bahagian elektronik, motosikal ini datang dengan sistem ABS Pro serta mod tunggangan yang boleh diubah. Bagi memastikan kepuasan tunggangan, BMW memberitahu F 450 GS ini mencatat berat yang hampir kepada 175 kg.
Sementara varian yang didedahkan ini kelihatan seperti varian yang lebih tinggi dengan ciri lebih lasak dan padanan rim spoked 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, BMW juga memberitahu terdapat kemungkinan akan ada versi yang mempunyai tempat duduk lebih rendah serta rim aluminium dengan saiz sama.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.