Yamaha mengumumkan peningkatan bagi Tracer 9 tahun 2025, dengan melibatkan perubahan di bahagian reka bentuk, kelengkapan serta teknologi. Secara asasnya, ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, GT dan GT+. Melihat kepada pasaran United Kingdom, varian Standard hanya datang dalam versi transmisi manual enam kelajuan, GT+ diberikan pilihan manual atau Y-AMT, manakala GT+ hanya dengan Y-AMT.
Perubahan yang paling mendapat perhatian pada Tracer 9 2025 ini adalah lampu hadapannya, yang menggunakan susunan bertingkat untuk unit LED bersama dengan fungsi Cornering Light. Pada varian GT dan GT+, ia dipertingkat lagi dengan unit LED matriks adaptif yang disambungkan kepada sistem kamera dan boleh melaras sendiri mengikut keadaan sekitar.
Kemudiannya, Tracer 9 2025 ini juga mendapat rangka belakang yang lebih panjang (tetapi lebih ringan), bagi menjadikan tempat duduk belakang lebih luas. Bentuk tempat duduk hadapan pula lebih rata, tetapi menggunakan kusyen yang lebih tebal, menjadikan tinggi tempat duduk bertambah satu inci (845 mm-860 mm).
Bagi Tracer 9 2025 versi Standard, suspensi Kayaba boleh larasnya menerima tetapan baru, termasuk linkage belakang yang diubah bagi memperbaiki cengkaman. Varian GT dan GT+ pula menerima unit semi aktif yang boleh melaras sendiri mengikut input yang diterima oleh Inertial Measurement Unit (IMU).
Enjin bagaimanapun tidak diusik, dengan ia masih menggunakan unit tiga silinder CP3 890 cc yang mampu menghasilkan kuasa 119 PS pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm. Mod tunggangan pula ada lima iaitu Sport, Street, Rain dan dua mod yang boleh diubah suai.
Untuk model tahun 2025 ini juga semua versi Tracer 9 menggunakan panel meter TFT tujuh inci – sebelum ini hanya disediakan pada GT+ sahaja. Selain memaparkan informasi penting, ia juga boleh disambungkan kepada telefon pintar, tetapi sistem navigasi Garmin hanya disediakan pada versi GT dan GT+.
Kelengkapan lain Tracer 9 2025 adalah termasuk cruise control, pemanas tangan, soket pengecas USB-C, kotak simpanan kecil di bahagian kokpit dan tangki bahan api 19 liter. Varian GT dan GT+ kemudiannya ditambah dengan kotak barangan tepi 30 liter, kunci pintar dengan central locking (termasuk untuk beg barangan), quickshifter (GT manual), Vehicle Hold Control dan penghadang angin hadapan larasan kuasa (larasan manual pada versi Standard).
Sebagai varian paling atas, GT+ mendapat beberapa lagi ciri canggih seperti sistem pemerhati tekanan angin tayar serta sensor radar hadapan dan belakang untuk fungsi Adaptive Cruise Control (ACC), Unified Brake System, Forward Collision Warning dan Blind Spot Detection. Berat Tracer 9, Tracer 9 GT dan Tracer 9 GT+ masing-masing adalah 219 kg, 227 kg dan 232 kg.
GALERI: Yamaha Tracer 9 2025
GALERI: Yamaha Tracer 9 GT 2025
GALERI: Yamaha Tracer 9 GT+ 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Will the 2025 Tracer 9 be available in Malaysia?
If so any idea when?
Is there bookings for tracer 9 available in the market already?