Setelah lapan bulan sejak Chery melancarkan Omoda E5 di Malaysia, baru kini produksi versi pemasangan tempatan (CKD) SUV elektrik tersebut dimulakan di kilang Inokom di Kulim, Kedah, laporan Business Today.
Pada asalnya, produksi tempatan dijangka bermula pada suku kedua tahun ini, namun nampak gayanya ia agak terlewat berbanding perancangan awal. Setakat ini, Chery belum memberikan sebarang butiran mengenai harga model CKD, mahupun sebarang perubahan dalam spesifikasi atau kelengkapannya.
Majlis permulaan produksi CKD ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Liew Chin Tong, yang memuji komitmen Chery terhadap pekerjaan tempatan (99% daripada tenaga kerja pemasangan adalah warga Malaysia) dan sumbangannya kepada pembangunan industri automotif Malaysia.
Liew turut berkata penggunaan kenderaan elektrik perlu dipertingkatkan untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap petrol dan subsidi yang kini menjadi topik hangat memandangkan kerajaan bersedia untuk memperkenalkan subsidi bersasar RON95 pada pertengahan tahun depan. “Kita harus melihat EV sebagai jalan ke hadapan untuk peralihan hijau,” katanya.
Bagi Chery Omoda EV versi CBU, buat masa ini berharga RM146,818 dengan kuasanya dipacukan dari motor hadapan tunggal yang mampu memberikan 204 PS (150 kW) dan tork 340 Nm. Pacuannya dijanakan dari bateri lithium iron phosphate bersumberkan BYD yang berkapasiti 61 kWh, mampu memberikan jarak gerak hingga 430 km mengikut kitaran WLTP dan menyokong sehingga 80 kW bagi pengecas pantas DC dan 9.9 kW dari pengecas AC.
GALERI: Chery Omoda E5 CBU
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.