Berbanding tahun lalu, ada terdapat beberapa pembaharuan yang dibawakan oleh pihak penganjur Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024. Antaranya ini dia, koleksi model-model sport klasik dari Jepun dari era 70’an hingga awal era Y2K. Ke semua kereta klasik ini dipamerkan di Hall 1 dengan tema “Four Heavenly Kings & JDM Legends”.
Dalam ruang ini anda boleh lihat empat generasi Toyota Supra bermula dengan model generasi pertama iaitu Celica Supra atau turut dikenali dengan nama Celica XX dengan kod casis A40 atau A50 yang muncul pada tahun 1979. Jika anda belum tahu, Supra buat permulaannya merupakan varian dari Toyota Celica yang menggunakan enjin enam-silinder sebaris.
Model generasi kedua dengan kod casis A60 pada 1981 masih mengekalkan nama Celica XX/Supra. Kemudian nama Supra itu berdiri sendiri pada model generasi ketiga dengan kod A70 pada 1986, dan pada versi facelift 1990, Supra mula menerima enjin 2.5 liter 1JZ-GTE.
Dan model paling legenda sudah tentulah versi generasi keempat Supra JZA80. Bermula dari model ini Supra hanya menerima enjin 3.0 liter enam-silinder 2JZ dalam pelbagai variasi, sama ada dalam versi NA atau turbo berkembar.
Di sini juga anda boleh lihat dua generasi Celica iaitu model generasi ketiga A60 (ia menggunakan enjin empat-silinder berbanding Celica Supra A60 dengan enjin enam-silinder) dan juga model generasi keempat dalam varian paling berkuasa iaitu Celica GT-Four ST165.
Selain itu tiga generasi Mazda RX-7 turut ada dipamerkan iaitu generasi pertama SA22, generasi kedua FC3S dan juga generasi keempat FD3S. Juga tidak ketinggalan tiga generasi Skyline GT-R bermula dari generasi kedua R32, generasi ketiga R33 dan generasi keempat R34. Ketiga-tiga buah Skyline ini juga ditemani dengan sebuah pewaris generasi terakhirnya iaitu Nissan GT-R R35.
Model lain yang turut boleh anda belek disini adalah sebuah Mitsubishi Lancer Evolution I dalam versi RS dan juga model pertama Honda yang menerima lencana Type R iaitu Honda NSX Type R NA1 – di mana kedua-duanya berada dalam kondisi stock standard.
Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024 masih lagi berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula hari ini, 8 November sehingga 10 November. Ia dibuka bermula pukul 9 pagi sehingga 10 malam setiap hari.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.