Dua bulan selepas didedahkan di Thailand, Honda kini memperkenalkan secara rasmi model HR-V facelift di sana dengan mengumumkan harga jualannya. SUV segmen B itu dijual bermula dengan harga 899,000 baht (RM115,900) bagi varian e:HEV E untuk tempoh terhad, dan akan menjadi 949,000 baht (RM122,300) selepas 1 Januari 2025.
Dua lagi varian diberikan harga yang sama seperti sebelum ini: e:HEV EL dijual dengan harga 1,079,000 baht (RM139,100) dan e:HEV RS yang paling lengkap dengan harga 1,179,000 baht (RM152,000), walaupun semua varian menerima peningkatan kelengkapan.
HR-V terbaru ini turut menerima beberapa kemaskini di bahagian luaran, misalnya bampar depan dengan gril lebih lebar, disertai dengan jalur perak yang menghubungkan lampu utama. Lampu belakang juga baru, dengan palang merah, menampakkannya lebih cantik.
Model RS untuk pasaran Siam mengekalkan penggunaan bodykit hitam berkilat dengan spoiler depan dan kemasan di bampar belakang, dipasangkan jalur krom dan tanda “garis degupan jantung” di depan. Ciri baru untuk varian flagship ialah lampu projektor LED matrix dengan lampu selekoh aktif berserta lampu belakang denga perumah gelap.
Selebihnya, saiz rim 17 dan 18-inci dikekalkan, dengan saiz yang lebih besar diberikan penyudah dua-tona warna. Pilihan warna badan juga ada pertambahan, iaitu warna Sand Khaki baru dengan bumbung hitam, hanya untuk varian EL dan RS.
Di dalam, konsol tengah yang melingkari ruang dahulunya kini telah digantikan dengan rekaan yang konvensional dan simetri, dengan pertambahan ruang simpanan di bawah pengawal pendingin. Unit utama sistem infotainmen untuk pasaran tempatannya didatangkan dengan skrin sentuh lapan-inci dan ada sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Sementara itu, corong pendingin belakang, enam-pembesar suara dan cermin rias kini standard.
Lain-lain kelengkapan yang khusus untuk varian EL ke atas termasuklah slot USB-C di depan dan belakang, kerusi pemandu larasan elektrik lapan-arah dan pengecas tanpa wayar Qi. Sama seperti sebelum ini, HR-V terus dilengkapi dengan Honda Sensing untuk bantuan pemandu, terdiri daripada antaranya AEB, kawalan melayar adaptif dengan Low Speed Follow, bantuan ke tengah lorong dan amaran pergerakan depan.
HR-V di pasaran Thailand hanya dalam versi hibrid, dikuasakan oleh motor elektrik yang menghasilkan sebanyak 131 PS dan 253 Nm tork, dan kuasa dijana daripada enjin 1.5 liter NA i-VTEC dengan 106 PS/127 Nm dan disalurkan ke roda depan. Kadar penggunaan minyak ialah 25.6 km per liter, memberikan jarak perjalanan lebih 800 km. Untuk varian RS, ada pertambahan ciri stereng dengan nisbah-boleh ubah.
Boleh dijangkakan HR-V facelift ini akan tiba di Malaysia tahun depan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.