Honda Racing Corporation (HRC) kini sedang membangunkan enjin HRC-K20C, iaitu enjin yang diasaskan dari unit 2.0 liter empat silinder VTEC Turbo yang diambil dari Honda Civic Type R untuk ditawarkan kepada pelanggan bagi digunakan dalam pelbagai perlumbaan.
Dalam keadaan standard, enjin tersebut sudahpun mampu untuk menghasilkan kuasa 330 PS dan 420 Nm bagi membolehkan Civic Type R FL5 menjadi hot-hatch produksi terpantas di Litar Nürburgring, Jerman. Manakala bagi enjin HRC-K20C ini, ia akan ditawarkan dalam empat spesifikasi bermula dengan Spec A berkuasa 300 HP hingga Spec D berkuasa 600 HP dan kesemuanya dibangunkan agar boleh bertahan digunakan secara lasak dalam perlumbaan.
HRC-K20C Spec B telahpun diletakkan di dalam lima buah kereta lumba Acura Integra Type S DE5 di Amerika Utara, di mana kesemua kereta tersebut berlumba dalam perlumbaan Touring Car TC America dalam kelas TCX. Ia juga menjana kereta lumba Acura Integra yang digunakan dalam perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb pada Jun lalu.
Enjin Spec B ini menggunakan blok silinder yang diperkuat menerusi proses tuangan istimewa berasaskan blok produksi K20A, dan ia masih dikilangkan di Kilang Enjin Anna Honda di Ohio, Amerika Syarikat. Ia masih lagi menggunakan banyak komponen yang sama seperti enjin K20A produksi kecuali omboh, rod penghubung dan bolt yang diperkuat, jet-jet dan sesekat minyak pelincir yang dipertingkat serta blok yang disebut tadi.
Pada 7 November lalu HRC turut menguji enjin HRC-K20C Spec D pada jentera lumba single-seater Super Formula SF19. Enjin Spec D ini bukan hanya ditala bagi menghasilkan 600 hp, malah ia turut boleh menggunakan sistem pelincir jenis dry sump serta boleh dipadankan pada casis kereta lumba Formula seperti SF19 ini.
Menurut HRC, kesemua enjin ini dibangunkan bagi boleh digunakan dalam pelbagai kategori perlumbaan dengan pelbagai kelas kuasa kuda, serta seimbang dari segi potensi dan menampilkan kos rendah. Sayap perlumbaan Honda itu menyatakan bahawa ia kini sedang meneroka bagi memasarkan enjin ini untuk pasukan-pasukan lumba luar yang memerlukan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.