Sistem levi yang dicadangkan untuk pelaksanaan mekanisme subsidi minyak bersasar petrol RON 95 mungkin boleh menyebabkan keciciran kepada isi rumah berpendapatan rendah, daripada menerima bantuan itu – lapor The Star. Memetik kenyataan menteri ekonomi, Rafizi Ramli, beliau memberitahu bahawa sekitar 40% daripada isi rumah berpendapatan rendah tidak mempunyai kenderaan yang didaftarkan atas nama mereka dalam pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kerana satu keluarga mungkin dia menggunakan kenderaan atas nama orang lain. Kita juga telah lalui perkara ini semasa pelaksanaan penyasaran diesel contohnya. Data awal ini menunjukkan ada ketidak padanan yang besar akibat amalan yang berlainan di bawah, kerana sama ada orang sambung bayar ataupun guna nama orang lain,” kata Rafizi di parlimen.
Tambah beliau lagi, sementara terdapat usul untuk kerajaan melaksanakan levi petrol pada kenderaan semasa pemandu memperbaharui cukai jalan, sistem levi ini menjadi satu daripada tiga cadangan yang sedang dipertimbangkan, dan setakat ini kerajaan merasakan sistem harga dua peringkat adalah cara yang terbaik.
Cadangan ketiga adalah dengan terus memberikan wang tunai kepada individu yang layak, tetapi terdapat kebimbangan ini akan membawa kepada peningkatan harga barang dan inflasi, kata Rafizi.
“Pakar ekonomi berkata bahawa cara bayaran tunai adalah lebih baik kerana ia tidak melibatkan pengendali stesen minyak. Tetapi kerajaan melihat terdapat potensi peningkatan harga barangan kerana apabila harga minyak naik, peniaga akan menjadikannya sebagai alasan untuk menaikkan harga,” kata Rafizi.
Beliau juga memberitahu bahawa tiada cara yang sempurna untuk melaksanakan sistem subsidi bahan api ini dan kerajaan akan memilih cara terbaik yang tidak akan menyebabkan peningkatan mendadak harga barangan
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.