Memandangkan Malaysia mempunyai sejarah selama 40 tahun dalam pengeluaran automotif sejak 1983 dan kluster perindustrian semikonduktor yang kukuh, tidak mustahil negara ini mampu menjadi hab serantau pembuatan kenderaan elektrik (EV) di ASEAN suatu hari nanti.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, Malaysia juga berhasrat untuk memupuk integrasi lebih baik antara industri automotif dan semikonduktor dengan matlamat menjadi hab terkemuka bagi mereka bentuk cip khususnya untuk sektor automotif, laporan Bernama.
“Malaysia adalah lokasi yang sangat menarik, kita adalah pengeksport produk semikonduktor keenam terbesar di dunia. Walaupun kita mungkin tidak mempunyai jenama keluaran tempatan, Malaysia memainkan peranan penting terutamanya di dalam proses ‘backend’,” katanya.
Beliau turut berkongsikan pengalamannya ketika melawat Detroit, Amerika Syarikat (AS) tahun lalu, Setiausaha Perdagangan AS, Gina M. Raimondo memberitahu ketika dalam satu pertemuan bahawa apabila Malaysia melaksanakan sekatan pergerakan penuh semasa pandemik COVID-19, kilang automotif di Detroit terpaksa ditutup.
“Ini kerana cip yang mereka harapkan datang dari Malaysia dan beberapa syarikat semikonduktor di Malaysia memberikan sumbangan ketara dalam cip automotif global. Justeru, apabila bercakap mengenai industri automotif terutamanya elektrifikasi mobiliti, adalah penting untuk kita tidak bekerja secara ‘silo’ (bersendirian).
“Saya mahu melihat industri ini memupuk penciptaan produk baharu, reka bentuk litar bersepadu dan cip automotif yang dikeluarkan oleh Malaysia. Ini akan membolehkan Malaysia bukan sahaja mengeksport alat ganti automotif tetapi juga cip automotif,” tambahnya.
Kerajaan Malaysia menetapkan sasaran untuk EV membentuk 20% daripada jumlah keseluruhan kenderaan (TIV) menjelang 2030, 50% menjelang 2040 dan 80% menjelang 2050.
“Walaupun ia kelihatan bercita-cita yang tinggi memandangkan kita bermula dari asas, Tinjauan EV Global tahunan Agensi Tenaga Antarabangsa menekankan beberapa arah trend utama…EV hanya membentuk 2% daripada TIV secara global pada 2018.
“Menjelang 2022, ia telah meningkat kepada 14% daripada TIV di seluruh dunia…menjelang 2023, ia mencapai 18%. Oleh itu, mencapai 20% daripada TIV menjelang 2030 bukanlah sasaran yang sukar dicapai, bagaimanapun ia memerlukan usaha bersepadu. Ia memerlukan kita berfikir di luar kotak (berfikir di luar kebiasaan),” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.