Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan 3,855 sama kepada penunggang motosikal dalam masa 12 hari pertama sejak pelancaran Ops Khas Motosikal pada 1 November lalu – lapor New Straits Times.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, 325 anggota ditugaskan untuk operasi tersebut di kawasan hotspot seluruh negeri, dan setakat ini 19,362 penunggang motosikal telah diperiksa.
Daripada 3,855 notis saman yang dikeluarkan, 1,644 adalah disebabkan oleh kesalahan teknikal seperti modifikasi yang menyalahi undang-undang, tiada cermin sisi dan lampu tidak berfungsi. Sejumlah 983 saman lagi dikeluarkan kerana tidak mempunyai cukai jalan sah, manakala 737 dikeluarkan kerana tidak mempunyai lesen sah.
“302 notis sama juga dikeluarkan kerana kesalahan nombor plet, manakala 34 lagi dikeluarkan untuk tujuh kesalahan trafik utama,” kata Azrin.
Tujuh kesalahan tersebut adalah memotong barisan, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu merah di lampu isyarat, melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau helmet dan menyalahgunakan lorong kecemasan.
Operasi yang dijalankan oleh jabatan itu malam Selasa lalu menyaksikan 631 motosikal diperiksa dan 259 saman dikeluarkan. Daripada situ, 19 motosikal diberikan arahan untuk diperiksa semula manakala lima disita. Menurut Azrin, JPJ Selangor akan mengadakan tujuh ke lapan sekatan jalan setiap hari di semua daerah dalam negeri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.