Susulan kejayaan program lorong khas bas di Kuala Lumpur, Pulau Pinang juga akan mengikut jejak langkah yang sama, dengan ujian projek lorong khas bas selama enam bulan akan dilaksanakan di Jalan Penang dan Jalan Ria mulai minggu depan.
Projek perintis itu melibatkan laluan sepanjang 500 meter bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan bas Rapid Penang, yang sering terjejas akibat kesesakan lalu lintas, menyebabkan kelewatan bas sampai ke hentian dan terminal mereka, laporan New Straits Times.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Zairil Khir Johari, projek perintis itu direka untuk menilai kebolehlaksanaan laluan khas bas dan mengurangkan masa perjalanan bas, terutamanya pada waktu puncak.
“Berdasarkan kejayaan inisiatif yang sama di Kuala Lumpur (koridor Ampang, koridor Genting Kelang, dan koridor Jalan Klang Lama), yang menjimatkan masa perjalanan bas sehingga 10-15 minit, kami berharap untuk penambahbaikan serupa di Pulau Pinang,” katanya
Ujian percubaan juga dijangka meningkatkan keselamatan penumpang, terutamanya di perhentian bas Pasar Chowrasta, di mana dengan adanya lorong bas, ia akan membolehkan bas beroperasi dengan lancar tanpa gangguan daripada kenderaan lain, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.
Projek rintis ini akan dilaksanakan di Jalan Ria dari persimpangan Jalan Ria/Jalan Dr Lim Chwee Leong ke persimpangan Jalan Ria/Jalan Magazine (200 meter) dan di Jalan Penang, dari persimpangan Jalan Penang/Jalan Magazine /Jalan Datuk Keramat ke Jalan Penang/Jalan Burma (100 meter) dan dari persimpangan Jalan Penang/Lebuh Chulia ke persimpangan Jalan Penang/Jalan Dr Lim Chwee Leong (200 meter).
Zairil berkata projek perintis itu akan berjalan selama enam bulan, beroperasi setiap hari termasuk cuti umum iaitu dari 6.30 pagi hingga 9 pagi dan 4.30 petang hingga 8 malam. Beliau berkata hanya bas awam, bas sewa, teksi dan kenderaan kecemasan akan dibenarkan menggunakan lorong bas, dan menggesa pengguna jalan raya di kawasan terlibat untuk memberi kerjasama.
Dalam tempoh percubaan, papan tanda akan diletakkan di sepanjang laluan, manakala kon keselamatan akan diletakkan di sepanjang lorong bas semasa waktu operasi dan dialihkan sebaik sahaja lorong ditutup. Selain itu, pihak berkuasa juga akan menjalankan penguatkuasaan untuk memastikan aliran trafik lancar dan pematuhan sekatan lorong bas.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.