Honda Scoopy, yang sudah berada di pasaran Indonesia sejak tahun 2010 kini diperkenalkan dengan model generasi baru, yang dipertingkat untuk menjadikannya lebih moden dan mesra pengguna. Ia ditawarkan pada harga bermula 22.5 juta rupiah (RM6,360) dalam pilihan lapan warna.
Meskipun identiti asalnya dikekalkan, dengan rekaan yang berbentuk bulat serta menggelembung, kesemua panel badan adalah baru, termasuk lampu hadapan yang kini merupakan unit LED dengan terdapat tulisan Scoopy di dalamnya. Rim pula menggunakan rekaan lima cabang baru, dalam saiz 12 inci di hadapan dan belakang.
Kemudiannya untuk kemudahan pengguna, Scoopy baru ini menerima poket barangan yang lebih luas di bahagian bawah pemegang (4 liter), cangkuk penggantung barang serta soket pengecas USB-C. Khusus untuk versi yang menggunakan kunci pintar, Scoopy baru ini akan didatangkan dengan panel meter LCD lengkap dengan pelbagai informasi.
Enjin bagaimanapun masih lagi sama, iaitu unit satu silinder SOHC 109.5 cc PGM-Fi air cooled, bersama padanan transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan 9.0 PS pada 7,500 rpm dan tork 9.2 Nm pada 6,000 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 4.2 liter.
Kelengkapan lain Scoopy 2025 adalah termasuk brek cakera di hadapan dan dram di belakang, fork teleskopik di hadapan, satu penyerap hentak di belakang serta berat keseluruhan 94 kg.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.