Malaysia akan melaksanakan penggunaan petrol Euro 5 mulai September 2025 dan dijangka mencapai spesifikasi penuh pada 2027 sebagai langkah penyelesaian jangka panjang dalam menjaga kualiti udara negara, laporan Utusan Malaysia.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, pelaksanaan ini juga adalah selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Bahan Api Petrol dan Diesel) 2007.
“Justeru, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan bekerjasama rapat dengan industri untuk memastikan peralihan ini berjalan lancar,” katanya.
Tambahnya, penggunaan Euro 5 juga akan mendorong industri automotif Malaysia untuk meningkatkan teknologi kenderaan termasuk bagi kenderaan komersial dan industri berat. Selain itu, kenderaan dengan teknologi pelepasan Euro 5 akan beroperasi dengan lebih efisien dan menghasilkan pelepasan asap yang lebih bersih, sekali gus dapat memberikan kesan positif terhadap kualiti udara di negara ini.
“Sebelum ini, negara telah mengambil langkah proaktif menangani isu pencemaran udara dengan memperkenalkan bahan api diesel Euro 5 sejak April 2021 dan seterusnya telah mencapai spesifikasi penuh pada April 2023. Diesel Euro 5 ini memenuhi piawaian ketat, termasuk pengurangan kandungan sulfur dan bahan pencemar lain,” tambahnya.
Peralihan kepada petrol Euro 5 berkemungkinan memacu kemajuan dalam sektor automotif tempatan, khususnya dalam industri komersil dan berat, di mana teknologi kenderaan yang dikemaskini adalah penting. Pengenalan petrol Euro 5 di Malaysia telah diwartakan pada 2015 oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk pengenalan di stesen minyak mulai 1 September 2025, dan ketersediaan diesel Euro 5 juga diwartakan pada masa yang sama pada September 2020.
Kualiti petrol Euro 5 akan mematuhi piawaian baharu bagi sulfur dan plumbum, menurut kementerian pada masa itu. Ia juga menambah bahawa baki standard minimum untuk petrol Euro 5 seperti tekanan Reid Vapor, kandungan oksigen, benzena, olefin, aromatik dan banyak lagi akan dikuatkuasakan secara berperingkat, sepanjang tahun 2026 dan 2027.
Diesel Euro 5 menggantikan gred Euro 2M pada April 2021, dengan pengenalan bahan api tersebut ditangguhkan kerana kekangan yang dihadapi oleh pelbagai industri serta pandemik Covid-19.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.