Selain MT-07 dan Tracer 9, Yamaha juga memberikan pembaharuan pada Tenere 700 untuk model tahun 2025. Ia melibatkan bahagian panel badan, suspensi, ergonomik dan juga penambahan teknologi.
Bermula dengan penampilannya, Tenere 700 2025 meskipun masih menggunakan gaya ala motosikal rali yang sama, tetapi keseluruhan panel badannya adalah baru termasuk penghadang angin hadapan, tangki, lampu LED hadapan serta tempat duduknya.
Kemudiannya sekarang, Tenere 700 sudah menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, sekaligus membolehkan ia dilengkapi dengan kawalan cengkaman (boleh ditutup) serta mod tunggangan, yang disediakan dalam dua pilihan (Sport dan Explorer).
Sama seperti sebelum ini, Tenere 700 mempunyai sistem ABS yang boleh dipilih, sama ada untuk berfungsi di hadapan dan belakang, hadapan sahaja atau ditutup terus, tetapi sekarang ia dilengkapi dengan butang khas untuk melakukan pilihan tersebut di sebelah meter TFT 6.3 inci barunya (dengan sambungan kepada telefon pintar).
Meter serta fungsi utama motosikal ini boleh dikawal melalui butang baru di bahagian kiri pemegang, yang kini berupa tombol kecil, seperti pada MT-07. Untuk bahagian pengendalian, Yamaha telah memperbaiki fork serta monoshock boleh laras sepenuhnya pada model ini. Jarak geraknya masih lagi 210 mm di hadapan dan 200 mm di belakang, sekaligus tinggi tempat duduk juga tidak berubah – 875 mm.
Tidak cukup dengan itu, Yamaha juga memberi penambah baikan pada ciri ergonomik motosikal ini dengan menggunakan penutup klac yang lebih nipis supaya tidak mengganggu kaki penunggang serta pemijak kaki yang lebih lebar dan panjang.
Tiada perubahan dibuat pada bahagian enjin, dengan Tenere 700 ini masih lagi menggunakan unit dua silinder selari DOHC 689 cc, bersama kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 73.4 PS pada 9,000 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 16 liter.
Kelengkapan lain yang terdapat pada Tenere 700 2025 adalah rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, soket pengecas serta brek yang terdiri daripada set cakera berkembar 282 mm dengan angkup Brembo di hadapan dan cakera tunggal 245 mm di belakang. Berat keseluruhan Tenere 700 adalah 208 kg.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.